PENGUNJUNG SETIA

15 Januari 2010

LATIH ANAK LAKSANA SOLAT

AHLI jemaah Surau Dua Parit Kassan mendengar kuliah disampaikan Mohd Amin (kanan).

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Ibu bapa perlu melatih anak-anak mereka melakukan ibadat itu sejak dari kecil lagi supaya amalan itu akan sebati dan menjadi rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan.

Penggerak Keluarga Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Ustaz Mohd Amin Apah, berkata perkara yang dapat membezakan di antara orang Islam dengan bukan Islam ialah melalui solat yang dilakukannya.

Katanya, ciri-ciri seorang Islam itu dapat dilihat apabila mereka mengerjakan sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas mereka dan ibadat itu dituntut supaya semua umat Islam melakukannya.

"Ibu bapa selaku penggerak dalam sesebuah keluarga perlu memastikan ahli keluarganya sentiasa melaksanakan perkara yang dituntut itu.

“Ibu bapa hendaklah membimbing anak-anak supaya melakukan ibadat sembahyang lima waktu ini kerana ia dapat mencorakkan mereka ke arah insan yang baik dan mempunyai disiplin diri.

“Sembahyang menjadi benteng dan penyelamat kepada perbuatan yang tidak baik kerana Allah akan memberikan hidayah kepada mereka yang mentaati perintah-Nya dan melindungi daripada melakukan perkara yang mungkar,” katanya ketika memberikan kuliah kepada ahli kariah Surau Dua Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini.

Hadir sama, Ketua Kampung, Mohd Hamzah Basar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Janis Abu Bakar dan Imam Surau Dua, Ahmad Tahir.

Mohd Amin berkata, selain sembahyang lima waktu mereka juga dituntut membaca al-Quran kerana ia menjadi panduan dalam menjalankan kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.

Katanya, al-Quran mempunyai banyak panduan yang amat berguna kepada umat Islam sekiranya mereka memahami isi kandungannya dan mereka digalakkan membaca dan memahaminya setiap hari.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 15 JANUARI 2010

Tiada ulasan: