LEDANG 2 Jan. - Rakyat Johor diseru bersama mengekalkan rentak keadaan politik negeri yang stabil bagi menjamin kemakmuran dan seterusnya memacu kejayaan sektor ekonomi.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, persefahaman antara masyarakat yang berbilang kaum ini merupakan kunci kekuatan yang sewajarnya terus dipertahankan.
"Saya percaya kita tidak mahu berlakunya perpecahan di kalangan rakyat sehingga wujud keadaan saling tidak percaya... impak perkara ini adalah amat buruk.
"Harus diingat, sepanjang kita bersama di negeri Johor, segala pembangunan dan kemakmuran yang dinikmati adalah dikecapi bersama," katanya.
Abdul Ghani menyatakan demikian selepas Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, Sungai Mati di sini semalam.
Hadir sama ialah ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri Tangkak, Goh Tee Tee serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SJKC Pei Hwa, Lee Ching Boon.
Pada majlis itu, Abd. Ghani turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 kepada sekolah berkenaan bagi membina blok bangunan bernilai RM2.2 juta yang bakal menempatkan 20 bilik darjah dan sebuah kantin.
Abdul Ghani yakin kestabilan politik dan keamanan di negeri ini mampu menjadi daya penarik kepada kehadiran pelabur-pelabur asing untuk melonjakkan lagi pembangunan.
"Negeri Johor terus menerima ramai pelabur asing termasuk dari Perancis, England, Sepanyol, Singapura dan Korea Selatan.
"Tetapi untuk 2010 ini, kita berharap dapat menarik pelabur besar-besaran daripada syarikat di Malaysia sendiri," katanya.
Tambahnya, Malaysia juga perlu terus berdaya saing dalam menghadapi kebangkitan kuasa ekonomi baru, bukan sahaja dari China dan Indonesia, malah dari Indonesia dan Vietnam.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 3 JANUARI 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan