PENGUNJUNG SETIA

06 Januari 2010

PUTD BUAT PENERBANGAN IHSAN BAWA ORGAN PENDERMA


Dua pegawai perubatan IJN membawa kotak berisi jantung dan paru-paru selepas pesawat Agusta melakukan penerbangan ihsan membawa organ tersebut dari Hospital Muar ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Noor Asrekuzairey Salim


MUAR 5 Jan. - Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) hari ini membuat penerbangan ihsan menghantar jantung dan paru-paru seorang penderma yang disahkan mati otak ke Kuala Lumpur bagi pembedahan pemindahan organ di Institut Jantung Negara (IJN).

Helikopter Agusta A109LOH itu melakukan penerbangan dari padang ragbi di Tanjung Emas di sini pada pukul 5.30 petang.

Penerbangan pesawat milik Skuadron 881 PUTD yang berpangkalan di Kem Mahkota Kluang itu dikendalikan Mejar Adnan Yakob dengan dibantu Kapten Asri Ramli dan Pegawai Waran II Mizan Husin.

Sebelum ini, pesawat PUTD pernah terbabit dalam penerbangan menghantar individu yang tercedera, namun ini adalah kali pertama penerbangan ihsan dibuat bagi menghantar organ untuk tujuan berkenaan.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Pakar Sultanah Fatimah serta IJN.

Utusan Malaysia difahamkan bahawa penderma berkenaan merupakan seorang wanita, Chiew Fong Neo, 43, yang disahkan mati otak pada pukul 11.30 pagi ini di hospital berkenaan.

Fong Neo mengalami kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah Proton Wira berwarna putih di bandar Tangkak kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu.

Ketika kejadian tersebut, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Tangkak Jaya menuju ke sebuah kedai runcit di bandar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, wanita itu menjadi mangsa kes langgar lari dan usaha sedang dijalankan bagi menjejaki suspek yang memandu kereta tersebut.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di talian 06-9781222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Perkara yang sama juga diharapkan oleh kakak mangsa, Chiew Fong Kiaw, 45, yang mahu orang ramai membantu mengesan suspek kejadian berkenaan.

Kata Fong Kiaw, adiknya yang merupakan ibu kepada tiga anak perempuan dikenali sebagai seorang yang baik dan peramah.

Sementara itu di Kuala Lumpur, pesawat berkenaan mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.10 petang.

Sebaik tiba, kedua-dua organ berkenaan terus dibawa ke IJN dengan sebuah van yang sedia menunggu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 JANUARI 2009

1 ulasan:

faizalfretless berkata...

hehe bagus2...whether bad weather pun they'all fly jugak..who know the risk? for me, the heli is more unstable in bad weather..it may senior pilot fly the a/craft.