PENGUNJUNG SETIA

02 Januari 2010

PENCURI AYAM WAKTU SIANG DITANGKAP

LEDANG 1 Jan. - Lazimnya perbuatan mencuri ayam sering dilakukan waktu malam namun jenayah kini tidak mengira masa kerana dua lelaki yang ditahan polis di Grisek di sini baru-baru ini disyaki mencuri 10 ekor ayam pada waktu siang.

Siasatan mendapati kedua-dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu merupakan penagih dadah dan mereka menggunakan motosikal bagi jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, siasatan mendapati haiwan tersebut dicuri dari sebuah reban milik penduduk kawasan berkenaan pada pukul 2.30 petang, 22 Disember lalu.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak polis menjalankan siasatan dan berjaya menangkap kedua-dua suspek kira-kira pukul 5 petang di lokasi tidak jauh dari reban itu.

"Biarpun kes ini dipandang ringan namun jenayah perlu dibendung di peringkat awal daripada menjadi lebih merbahaya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, kedua-dua suspek tersebut telah pun didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak di sini dan dijatuhkan hukuman denda RM1,000.

Berdasarkan perbandingan, nilai sebenar 10 ekor ayam yang dicuri itu adalah RM110 namun sekiranya dibahagikan dengan nilai denda, ayam berkenaan berharga RM100 seekor.

Menurut Harun, selain daripada tangkapan kedua-dua suspek terbabit, seorang lelaki berusia 53 tahun turut ditahan Isnin lalu kerana mencuri dua ekor ayam dari sebuah reban di Sungai Mati di sini.

"Lelaki itu telah diberkas pemilik reban ayam tersebut pada pukul 3.20 petang dan kini berada dalam tahanan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JANUARI 2010

1 ulasan:

faizalfretless berkata...

ermm...wat malu mak bapak je kan wak? ape nk jadi la..