WAHAI manusia! Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti di antara sekian banyak bukti kebesaran Allah SWT. Dan keduanya tidak gerhana sebab kematian seorang manusia, oleh itu apabila kamu melihat gerhana itu, hendaklah kamu sembahyang sehingga cuaca menjadi terang kembali". (riwayat Muslim)
Demikianlah seruan ibadat dari baginda Rasulullah setiap kali apabila alam diselubungi fenomena gerhana, sama ada gerhana matahari mahupun bulan.
Gerhana merupakan satu kejadian astronomi apabila kedudukan bulan atau matahari bertentangan antara satu sama lain dengan bumi menyebabkan ada bayang terkena pada permukaan bumi.
Ia satu fenomena alam yang sama sekali tidak ada kaitan atau menjadi petanda dengan sebarang kejadian lebih-lebih lagi yang buruk.
Ini termasuk pemergian putera kesayangan baginda, Ibrahim dalam usia 70 hari yang kebetulan meninggal dunia pada hari berlaku gerhana tersebut.
Jauh sekali fenomena itu kononnya disebabkan oleh kemurkaan Allah swt, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaanNya seperti yang disebut oleh Rasulullah dalam hadis itu.
Namun yang jelas, ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada zaman ini. Tetapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Rasulullah SAW yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.
Sebagai umat Islam, apa yang patut kita lakukan apabila berlaku gerhana adalah seperti yang diseru oleh baginda, iaitu solat sunat gerhana yang dikenali sebagai solat sunat khusuf.
Malah dalam sesetengah riwayat yang lain, tidak sahaja solat sunat malah umat Islam digalakkan untuk melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain terutamanya bersedekah, berzikir dan berdoa.
Secara amnya, solat sunat gerhana dilakukan sebanyak dua rakaat yang dilakukan sejurus berlaku fenomena itu.
Namun seperti yang dilakukan oleh Rasulullah, walaupun dua rakaat sahaja, namun ia berakhir sehinggalah gerhana itu berakhir dan alam kembali terang.
Ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis;
"Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata: Ketika terjadi gerhana di masa Nabi Muhammad SAW maka diserukan oleh baginda: Ash-shalaatu jaami'ah (tegakkanlah solat berjamaah)". Kemudian (di dalam solat) Nabi Muhammad SAW. rukuk dua kali dalam satu rakaat.
Pada rakaat kedua Nabi Muhammad SAW rukuk dua kali pula. Kemudian duduk dan selesai. Matahari sudah terang kembali. Siti Aisyah berkata: "Belum pernah saya sujud lama, seperti lamanya sujud solat gerhana itu". (riwayat Bukhari dan Muslim)."
Selaku penganjur, Masjid Negara menjemput umat Islam mendirikan solat sunat khusuf dan mendengar khutbah khas sempena gerhana bermula selepas solat Jumaat iaitu dijangka pada pukul 3.45 petang.
Ini apabila dijangkakan hari ini akan berlaku fenomena alam yang unik itu.
Maka seluruh umat Islam tanpa mengira jantina, umur dan kedudukan amat digalakkan (sunat muakkad) supaya mendirikan solat sunat gerhana ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JANUARI 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan