PENGUNJUNG SETIA

01 Ogos 2010

DANA UNTUK SEKOLAH

TANGKAK - Peruntukan sebanyak dua ekar tanah dan dana bernilai RM200,000 akan diberikan kepada SJK(T) Jalan Sialang, Tangkak, Ledang, oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ketika Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah di sini, baru-baru ini.

Sumbangan dua ekar tanah untuk dijadikan padang sekolah terletak di belakang sekolah tersebut dan dana RM200,000 lagi adalah untuk memenuhi kekangan prasarana di sekolah ini yang juga sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Peruntukan ini diberikan bagi membantu sekolah daripada kekangan dari segi ruang bagi pelajar menjalankan aktiviti berikutan pertambahan bilangan mereka dari semasa ke semasa.

“Dana yang diberikan diharap dapat meningkatkan perkhidmatan prasarana sedia ada di sekolah ini supaya sesi pembelajaran tidak terganggu dan terhad,” katanya.

Abdul Ghani berkata, kurikulum sekolah adalah sangat penting dalam mendidik murid yang intelektual, berdaya saing dalam akademik tetapi kokurikulum juga sama penting untuk melahirkan murid yang cergas dan cerdas.

“Kemudahan asas sekolah seperti padang, bangunan dan sebagainya perlu disediakan bagi memenuhi aktiviti pembelajaran murid di sekolah dan keselesaan dalam pembelajaran dapat menentukan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.

“Kemudahan Susur Gajah yang diminta oleh pihak sekolah akan dibina sekiranya Persatuan Masyarakat India Tangkak sudi menyerahkan tanah miliknya yang dijadikan sebagai jalan masuk kepada nama sekolah,” katanya.

Majlis perasmian ini juga turut dihadiri oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Sufaat Tumin dan Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri bersama ADUN Bukit Gambir, M Asojan dan ADUN Tangkak, Goh Tee Tee.

Yang Dipertua PIBG sekolah, L Suntrakumar berkata, pihaknya sangat berbesar hati dan berterima kasih dengan peruntukan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pelajaran bagi memberikan kemudahan kepada murid di sekolah ini.

“Dengan dua ekar tanah dan dana yang diperuntukkan, program senaman murid dan beriadah dapat dipenuhi dengan jayanya malah murid sekolah ini juga bebas untuk melakukan aktiviti tanpa mengalami kesukaran seperti sebelumnya.

“Dengan kemudahan yang akan disediakan dengan bantuan dana tersebut, matlamat Satu Sukan Satu Sekolah oleh kementerian akan tercapai dengan jayanya,” katanya.

Selain itu, majlis ini diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah kepada murid sekolah yang cemerlang dalam akademik yang disampaikan Abdul Ghani.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 01 OGOS 2010

Tiada ulasan: