RODA TERBANG...tayar yang menyebabkan bilik tidur sebuah rumah rosak teruk.
LEDANG: Dua beradik yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi yang kuat apabila ‘tayar terbang’ menghentam dinding bilik tidur kediaman mereka di Simpang 5, Pekan, Bukit Gambir di sini, tengah malam semalam.
Warga emas, Tee Kim Bok, (gambar) 82, berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat itu dan menyangka ia letupan tangki minyak milik jirannya.
“Saya terbangun dari tidur dan terus keluar untuk melihat apa yang berlaku. Sangkaan saya tangki minyak meletup meleset selepas mendapati dinding bilik cucu hampir musnah.
“Kaca, serpihan papan dinding dan pelbagai lagi berserakan manakala cucu pula, masing-masing berusia tujuh dan 12 tahun, kelihatan kebingungan. Nasib baik mereka selamat,” katanya.
Tee kemudiannya memeriksa bahagian bumbung rumah dua tingkat berkenaan dan mendapati sebuah tayar kenderaan tersangkut di sana.
“Saya hairan bagaimana tayar kereta itu boleh melantun ke bilik cucu dan tersangkut di bumbung sedangkan jarak antara Jalan Muar-Bukit Gambir dengan kediaman saya ini kira-kira 200 meter,” katanya.
Anaknya, Tee Keng Seng, 42, berkata, dia menyangka kereta miliknya yang diletak di depan rumah dipecah orang tetapi selepas turun dan memeriksa, didapati ada sebuah kereta tersadai di depan kedai motosikal miliknya dengan tayar hadapan sebelah kiri sudah tercabut.
“Kereta itu dipandu dari Serom ke Bukit Gambir dan dipercayai tayarnya tercabut lalu melantun ke arah rumah kami sebelum menghentam dinding bilik tidur anak di tingkat atas rumah papan ini.
“Bagaimanapun, saya gembira kerana anak tidak mengalami kecederaan walaupun dinding dan cermin tingkap pecah menimpa mereka,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 23 OGOS 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan