PENGUNJUNG SETIA

04 Ogos 2010

SEDIA 54 LOT BAZAR RAMADAN

Seorang peniaga ikan sedang melayan pelanggan yang berkunjung ke Pasar Tani Kekal Bukit Gambir. FOTO: Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Sebanyak 54 lot niaga disediakan pengurusan Pasar Tani Kekal Bukit Gambir kepada peniaga Bazar Ramadan yang diadakan di kompleks itu sepanjang bulan puasa nanti untuk kemudahan umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa.

Pengurus Kompleks, Narudin Sulaiman (gambar), berkata Bazar Ramadan diwujudkan di kompleks itu sejak ia mula beroperasi pada tahun 2008 bagi memberi kemudahan umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman.

Katanya, kompleks pasar tani kekal itu merupakan satu-satunya yang ada di Johor dibina Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menempatkan 32 peniaga yang memasarkan hasil pertanian, barangan industri kecil dan sederhana (IKS), ikan hiasan, kedai runcit, makanan dan minuman.

“Selain menempatkan peniaga kekal, pasar tani mingguan juga diadakan setiap hari Ahad yang disertai 16 peserta yang menjual pelbagai barangan keperluan harian dan makanan basah seperti kuih-muih.

“Sambutan penduduk terhadap pasar tani kekal ini memang menggalakkan malah bukan hanya penduduk tempatan yang datang tetapi daripada Panchor, Pagoh, Bukit Serampang dan Sungai Mati mendapatkan barangan keperluan harian setiap hari,” katanya, di sini.

Narudin berkata, pihaknya sentiasa memantau harga barangan yang dijual bagi memastikan harganya sama atau lebih rendah daripada harga peniaga luar untuk kepuasan hati pelanggan.

Katanya, peniaga barangan basah seperti sayur-sayuran mendapat bekalan terus dari ladang dan ada antaranya menanam sendiri dan memasarkan di pasar tani menyebabkan mereka menawarkan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata, pengurusan pasar tani kekal sentiasa membantu peniaga mempromosikan perniagaan mereka dengan mengadakan aktiviti yang dapat menarik pelanggan berkunjung ke premis itu seperti Promosi Hari Khamis dan cabutan bertuah.

“Pengurusan dan peniaga pasar tani kekal ini sentiasa menjalin hubungan baik dengan pelanggan dan masyarakat setempat dengan mengadakan program kebajikan dan keagamaan seperti penyampaian bantuan kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sambutan Maulidur Rasul dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO EDISI JOHOR, 04 OGOS 2010

Tiada ulasan: