PENGUNJUNG SETIA

09 Ogos 2010

PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI JADI STRATEGI

LEDANG 8 Ogos - Penekanan terhadap pembangunan sosioekonomi akan dijadikan strategi bagi Malaysia sebagai ketua Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao untuk mewujudkan kestabilan politik di kawasan selatan Filipina itu yang sering bergolak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, Malaysia komited untuk memastikan perjanjian damai antara kerajaan pusat Filipina di Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, beliau sendiri akan berlepas ke Mindanao, Filipina hari ini bagi meninjau operasi tim pemantau berkenaan yang turut disertai Brunei, Indonesia, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar serta beberapa negara lain.

"Apabila ekonomi teguh, memperoleh status sosial tinggi, secara tidak langsung ia mewujudkan kestabilan politik tanpa ada percanggahan antara Mindanao atau parti politik, badan-badan terbabit dan pihak pentadbiran pusat di Manila," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Kembara Mahkota Johor (KMJ) di Kolej Komuniti Ledang, Tangkak di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, Malaysia sebagai orang tengah dalam perundingan antara Manila dengan MILF berharap untuk melihat konflik di kawasan selatan Filipina itu dapat diselesaikan.

Mengulas lanjut, katanya, penglibatan Malaysia dalam Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao sejak 2004 dihentikan pada 2008 berikutan Manila tidak bersetuju dengan pembabitan Malaysia.

Bagaimanapun, atas permintaan Brunei dan Manila, Malaysia mengambil tugas sebagai ketua Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao pada awal tahun ini.

"Tujuan kita menentukan tidak berlaku lagi kejadian sebagaimana tahun lalu iaitu pada 1 Syawal tercetus insiden pembakaran di Kem Abu Bakar dan banyak kematian dilaporkan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OGOS 2010

Tiada ulasan: