LEDANG: Seorang suri rumah mengharapkan suaminya pulang ke pangkuan keluarga kerana sudah setahun usaha menjejaki kehilangannya menemui jalan buntu.
“Sudah setahun saya menunggu kepulangannya, namun hingga kini tiada khabar berita walaupun pelbagai usaha dan ikhtiar sudah dilakukan,” keluh Tinah Sakiman, 61, yang kehilangan suaminya sejak pertengahan tahun lalu.
Suaminya, Mohd Ali Hussin, 59, yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat pengangkutan dikatakan keluar dari rumah di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir untuk ke tempat kerjanya di Durian Daun Dalam, Melaka pada 6 Julai tahun lalu.
Menurut Tinah, suaminya memberitahu pada hari itu dia akan ke Pasir Gudang menghantar barang dari stor majikannya di Melaka dan akan pulang semula ke rumah apabila tugasnya selesai sebagaimana biasa.
“Suami saya telah bekerja dengan majikannya lebih 20 tahun sebagai pemandu lori dan menghantar barangan yang dipesan ke lokasi tertentu dan sekiranya dia tidak dapat balik ke rumah pada hari itu, dia akan menghubungi saya melalui telefon.
“Tetapi pada hari berkenaan dia tidak menghubungi saya malah anak angkat saya, Maslinah Nasrin, 23, juga gagal menghubungi telefon bimbit ayahnya walaupun dicuba beberapa kali,” katanya dengan nada sedih ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Katanya, selepas tiga hari tidak dapat menghubunginya, Maslinah membuat laporan di Balai Polis berhampiran mengenai kehilangan itu kerana bimbangkan keselamatan dan khuatir perkara yang tidak diingini berlaku pada diri bapanya.
Tinah berkata, beliau serta keluarga sudah berusaha mencari suaminya di merata tempat sama ada di Melaka atau Johor iaitu di sekitar laluan beliau bekerja namun tidak dapat menjejakinya.
Sementara itu, anak saudaranya, Ishak Kasirun, 40, berkata beliau dan adik-beradiknya turut berusaha dan berikhtiar menjejaki bapa saudaranya sama ada dengan mencari di lokasi perjalanan tempat Mohd Ali bekerja mahupun secara tradisional tetapi masih menemui jalan buntu.
“Apa yang menjadi musykil keluarga kami, beliau hilang bersama kenderaan yang dipandunya dan tidak dapat dijejaki hingga kini menyebabkan ibu saudara saya sentiasa bersedih apatah lagi beliau kini tinggal seorang diri.
“Ikhtiar yang kami buat secara tradisional menyatakan bapa saudara saya mungkin berada di Pulau Pinang dan saya turut berusaha menjejaki di sana namun tidak tahu tempat yang hendak dituju,” katanya yang tinggal di Taman Dahlia, Johor Bahru.
Ishak berkata, beliau bagi pihak ibu saudaranya mengharapkan kerjasama orang ramai sama ada di Johor, Melaka, Pulau Pinang ataupun di mana saja untuk menjejaki bapa saudaranya yang sudah setahun tidak pulang ke rumah.
Beliau berkata, ibu saudaranya amat rindukan suaminya dan sentiasa menanti kepulangannya lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Mohd Ali diminta menghubungi talian 013-7711596 (Ishak) dan 017-7564810 (Misbah Sakiman) atau balai polis berhampiran.
SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 6 OGOS 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan