PENGUNJUNG SETIA

12 Ogos 2011

MB: FAHAMI AL-QURAN MELALUI TERJEMAHANNYA

Ditulis oleh Sofiayana Ellmy Sukor
Jumaat, 12 Ogos 2011 00:00 | 20 hits


TANGKAK: Masyarakat Islam di negeri ini diseru membaca terjemahan al-Quran supaya isi kandungan kitab suci itu dapat difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata sebahagian besar masyarakat Islam di negeri ini membaca al-Quran tetapi tidak ramai yang dapat memahami isi kandungannya kerana tidak faham bahasa Arab.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menghantar beberapa pegawainya mendalami ilmu terjemahan Al-Quran di Mesir.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri telah menghantar lima pegawai dari MAIJ untuk mendalami terjemahan Al-Quran di Mesir. Apabila tamat pembelajaran nanti, mereka akan dihantar ke setiap daerah bagi membimbing masyarakat Islam di daerah berkenaan memahami isi kandungan al-Quran,” katanya.

Jelasnya, dengan adanya pembimbing itu nanti masyarakat Islam bukan sahaja dapat memahami isi kandungan al-Quran, tetapi juga dapat membaiki kualiti bacaan masing-masing kerana kelas-kelas itu nanti turut memberi bimbingan dari sudut bacaan dan tajwid.

“Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan untuk menambah jumlah guru pembimbing ini sekiranya ia dilihat perlu,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Fakir Miskin di Masjid Kampung Paya Mas, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Abdul Ghani berkata, sejak 15 tahun lalu Kerajaan Negeri giat menjalankan usaha membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat antaranya mengadakan bacaan Al-Quran di jabatan-jabatan kerajaan pada setiap hari Jumaat, menganjurkan tadarus pada bulan puasa dan yang terbaru memperkenalkan sukatan baru di sekolah agama yang mewajibkan pelajar membaca al-Quran dan terjemahannya bermula dari Darjah Empat.

“Usaha-usaha yang dilakukan ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan lagi budaya membaca al-Quran di kalangan masyarakat, tetapi juga merupakan antara langkah pembangunan rohani dan jasmani,” katanya.

SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR, WWW.MEDKOM.MY

Tiada ulasan: