PENGUNJUNG SETIA

16 Februari 2012

2 BERADIK BUTA HURUF DITINGGAL TANPA DOKUMEN


Oleh Azidan Nahar

LEDANG: Nasib malang dua beradik berusia 10 dan 11 tahun, bukan setakat ditinggalkan ibu mereka sejak 10 tahun lalu tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, lebih menyedihkan masing-masing tidak berpeluang bersekolah seperti rakan sebaya lain.

Keciciran dalam pendidikan awal membuatkan dua beradik dikenali sebagai Mohamad Amin, 11; dan adik perempuannya, Norain, 10; buta huruf apabila tidak tahu menulis dan membaca kerana tidak pernah bersekolah disebabkan tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran.

Nasib malang dua beradik yang ditinggalkan bersama seorang penjaga lelaki berusia 55 tahun di Kampung Melepang dekat Sagil di sini, disedari penduduk kampung yang prihatin dan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan situasi mereka.

Pegawai JKM Daerah Ledang, Nurhayati Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dua beradik terbabit menerusi Talian Nur pada 9 Januari lalu, berhubung dua kanak-kanak dalam jagaan seorang lelaki di kampung itu yang tidak bersekolah dan terabai kehidupan mereka.

"Susulan maklumat diterima, kami menjalankan siasatan dengan mengunjungi rumah penjaga kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan kepastian sebelum mendapati memang dua beradik itu tidak bersekolah dan masa sama tidak mempunyai kad pengenalan atau sebarang dokumen peribadi dan kelahiran," katanya di sini, semalam.

Nurhayati berkata, berdasarkan siasatan penjaga kanak-kanak terbabit mendakwa ibu dua beradik terbabit menghilangkan diri 10 tahun lalu dengan membawa semua dokumen kelahiran selepas meninggalkan mereka kepadanya.

"Berikutan itu, kami berdepan masalah mendaftarkan semula kelahiran mereka kerana tiada sebarang dokumen seperti tarikh kelahiran serta rekod dari mana-mana hospital yang boleh digunakan.

"Difahamkan ibu kanak-kanak ini tidak pernah menjenguk mereka sejak 10 tahun lalu dan penjaganya mendakwa pernah cuba pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendaftarkan mereka tetapi tidak dibenarkan berikutan tiada dokumen sokongan.

"Kami bimbang jika mereka terus dibiarkan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, dua beradik ini terus terabai dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain serta tidak mendapat pendidikan sempurna, " katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sudah mendapat perintah mahkamah yang membenarkan JKM mendapat hak jagaan dua beradik terbabit yang kini ditempatkan di Pusat Perlindungan Kanak-Kanak JUITA di Johor Bahru.

Katanya, mereka yang mengenali ibu kepada dua beradik terbabit atau wanita itu sendiri yang hanya dikenali sebagai Norhayati, dapat menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Ledang 06-978 7725.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: