MUAR 5 Feb. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan rakyat supaya tidak mempercayai sepenuhnya berita yang disebarkan melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.
Baginda bertitah, tidak semua berita atau cerita yang disebarkan itu betul sebaliknya penipuan serta fitnah amat mudah dilakukan yang biasanya ditujukan kepada individu atau kumpulan tertentu.
"Dalam dunia sekarang yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), maklumat dan berita mudah disebarkan, apatah lagi fitnah dan pembohongan yang boleh ditipu serta diubah suai bagi menjatuhkan dan memfitnah seseorang atau kumpulan.
"Suka saya ingatkan di sini supaya tidak percaya bulat-bulat maklumat diterima daripada Internet mahupun SMS kerana maklumat yang dipaparkan belum tentu ada kebenarannya," titah baginda semasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri 1433 Hijrah di Masjid Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Turut berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Mufti Johor, Datuk Mohamad Tahrir Samsuddin.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan umat Islam supaya menghindari sebarang perbuatan yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat terutamanya dengan tindakan menabur fitnah.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan umat Islam supaya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh di samping mengamalkan amalan Rasullulah.
"Sambutan Maulidur Rasul adalah acara utama masyarakat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlu menyambutnya bagi menunjukkan kecintaan kepada Rasullulah.
"Mudah-mudahan dengan menyambutnya secara ikhlas, kita dapat menjadi insan lebih baik dan mendapat syafaat Rasullulah serta dilindungi Allah," titah baginda.
Terdahulu, baginda diiringi Abdul Ghani mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul yang disertai 1,500 kakitangan agensi kerajaan seluruh negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada 80 kontinjen.
Perarakan mulai pukul 7 pagi itu bermula dari Jalan Ibrahim hingga ke masjid berkenaan sejauh 2.5 kilometer.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan