PENGUNJUNG SETIA

27 Februari 2012

AIR TERJUN GUNUNG LEDANG UMPAMA PASAR BORONG


Oleh Dr Ibrahim Komoo

PADA Tahun Baru Cina lalu, saya sempat berkelah bersama keluarga di kawasan Air Terjun Gunung Ledang, Johor. Tapak perkelahan ini hanya sekitar 10 kilometer dari Pekan Jementah di mana saya dilahirkan dan membesar. Ketika zaman remaja dulu, saya sering berbasikal ke tapak air terjun ini untuk mandi-manda bersama rakan sekolah. Saya masih ingat, perjalanan berbasikal ke Ladang Getah Air Panas mengambil masa hampir sejam dan selepas itu kami berjalan kaki dalam ladang getah dan menyusur sepanjang sungai lebih setengah jam sebelum sampai ke kawasan air terjun ini.

Air Terjun Gunung Ledang sangat menarik dan mencabar. Ia terdiri daripada puluhan air terjun yang berketinggian antara 5 hingga 50 meter, diselangi banyak jeram dan kolam sepanjang lebih 3 kilometer. Airnya bersih, sejuk dan menyegarkan menarik minat untuk siapa saja yang berkunjung mencari tempat sesuai untuk mandi-manda. Saya masih ingat, ketika kecil dulu, hanya puluhan remaja yang mengunjungi air terjun ini pada hari minggu untuk beriadah bersama rakan-rakan.

Air terjun sejenis geotapak yang sedang saya perkenalkan sebagai sebahagian daripada warisan geologi yang perlu kita pulihara dan digunakan secara bijaksana untuk masyarakat menikmati keindahan alam. Tidak banyak sungai yang mempunyai air terjun, pembentukannya memerlukan proses geologi yang istimewa. Air terjun biasanya terbentuk di kawasan pergunungan bertebing curam dan hanya jenis dan sifat batuan tertentu saja yang menggalakkan proses hakisan sehingga terbentuknya air terjun.

Hari ini, Air Terjun Gunung Ledang sudah dimajukan. Ada jalan raya, tempat letak kereta berbayar, pengurus dan resort bagi mereka yang ingin bermalam di sana. Jika ketika kecil dulu, kami perlu berjalan melalui ladang getah dan pesisir sungai, lawatan terbaru ini juga mempunyai cabaran tersendiri. Dari jalan besar ke air terjun, ratusan kereta beratur untuk ke tempat letak kereta, sebaik sampai sudah tiada tempat kereta dan terpaksa meletakkan di mana saja ruang yang ada. Keadaan seperti sudah tidak mampu diurus lagi.

Ketika berdiri di pintu masuk ke kawasan air terjun, kami dapat perhatikan ribuan manusia berpusu-pusu bergerak masuk seperti tidak berkesudahan. Ketika itu, terlintas di fikiran, apakah ada ruang lagi untuk kami berkelah dan mandi-manda di air terjun ini? Mujurlah, selepas lebih setengah jam menyusuri kawasan perkelahan menghulu sungai, terdapat ruang kecil untuk kami sekeluarga beriadah sambil menikmati keindahan alam tabii Air Terjun Gunung Ledang ini.

Ada beberapa perkara yang perlu mendapat perhatian segera dan jangka panjang. Pertama, masyarakat Malaysia sememangnya dahagakan kawasan perkelahan di hujung minggu, terutama di kawasan luar bandar bersama alam dan mempunyai persekitaran sungai yang jernih, air terjun dan jeram. Pada masa ini kawasan seumpama ini memang sangat berkurangan dan jika adapun, masih belum berjaya dibangunkan dan dipromosikan dengan baik. Walaupun, Jabatan Perhutanan Malaysia menyediakan banyak kawasan Hutan Lipur, sebahagian besar masih belum dikenali ramai dan tidak mempunyai kemudahan awam yang memuaskan.

Kedua, bagi beberapa kawasan yang popular seperti Air Terjun Gunung Ledang, keadaannya jauh melampaui keupayaan tampungan. Pada hujung minggu, suasananya seperti di Pasar Borong, pengunjung berpusu-pusu dan berebut-rebut mendapatkan ruang beriadah. Keadaan alam tabii yang tenang dan menyegarkan, sudah bertukar menjadi kawasan pesta dan restoran hidangan sendiri. Lebih menyedihkan, keindahan alam tercemar dengan sampah sarap yang dibiarkan bertaburan.

Ketiga, sikap kebersihan masyarakat kita masih di tahap mendukacitakan. Walaupun wujud usaha pengurusan membersihkan kawasan dan menyediakan tempat membuang sampah. Idea kebersihan awam bagi kebanyakan pengunjung masih belum berkembang. Sebahagian besar menganggap pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab membersihkan kawasan, maka mereka bebas membuat dan meninggalkan sampah sarap di tempat berkelah tanpa mempunyai perasaan tanggungjawab bersama. Masyarakat kita masih perlu terus diasuh dan dipimpin dalam konteks penjagaan kebersihan awam.

Keempat, sikap atau kelakuan masyarakat awam daripada perspektif berkelah dan melancong. Dalam konteks berkelah di pesisir sungai dan pantai umpamanya, dua aktiviti utama yang dilakukan ialah mandi-manda dan makan-makan. Perkara ini diulangi, dari mula berkunjung hinggalah hampir pulang. Umumnya saya tidak dapat merasakan, apakah ada perkara lain yang mereka lakukan. Sebagai contoh beristirahat dan menikmati keindahan alam; merintis atau mendaki untuk kesihatan; atau mempelajari rahsia warisan alam. Persoalan seperti mengapa tempat ini indah dan menyegarkan, bagaimana air terjun dan jeram terbentuk, apakah fauna dan flora penghuni kawasan berkenaan dan bagaimana alam menjaga kesejahteraan kita - jarang ditanyakan.

Usaha kita menjadikan Malaysia negara maju sudah mencapai banyak kejayaan. Keupayaan membangun infrastruktur utama seperti lebuh raya, bangunan tinggi dan rumah besar sentiasa dikagumi. Kemampuan menjana ekonomi negara dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat juga menjadi ikutan ramai. Tetapi apakah kita mampu mengubah minda masyarakat dalam isu kepentingan intrinsik seperti kebersihan awam, menghormati kepelbagaian, menyintai tradisi dan warisan, dan kesihatan alam sekitar - suatu yang masih menjadi impian.

Felo Utama, institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM

SUMBER: BERITA HARIAN, 27 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: