PENGUNJUNG SETIA

10 Februari 2012

BALAI BOMBA RM8j


Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir di sini, yang dibina dengan kos RM8.8 juta dan mula beroperasi sejak 15 Disember lalu, mampu memperluaskan lagi perkhidmatan agensi berkenaan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Ketuanya, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairudin, berkata balai bomba itu menempatkan dua jentera serta dua bot dengan kekuatan 17 anggota serta pegawai.

"Kawasan yang berada di bawah bidang kuasa kami membabitkan Pekan Sungai Mati, Serom, Sengkang, Bukit Serampang, Kundang Ulu dan Grisek manakala di seberang Sungai Muar pula ialah Pekan Panchor, Pagoh, Liang Batu serta Lenga.

"Tugas kami bukan terhad kepada usaha memadamkan kebakaran saja, malah menangkap ular, menyelamatkan haiwan mahupun membersihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas," katanya pada majlis taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan serta pemimpin masyarakat di balai berkenaan, semalam.

Menurut Shazarul, sejak beroperasi, pihaknya sudah mengendalikan 10 kes khidmat khas dan enam kes kebakaran.

Sementara itu, Asojan berkata, kewujudan balai bomba di kawasan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat berikutan pertambahan penduduk di sana.

"Jalinan mesra antara anggota bomba dengan masyarakat setempat perlu terus dipertahankan bagi mewujudkan hubungan baik dan kerjasama di kalangan mereka.

"Kami akan mengadakan program ramah mesra di antara pemimpin masyarakat dengan kakitangan agensi berkenaan dalam masa terdekat bagi mengeratkan lagi silaturahim," katanya.

Menurut Asojan, peranan bomba sukarela juga penting bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mengawal kebakaran.

"Bomba sukarela boleh mendalami pengetahuan dan pengalaman dengan menyertai latihan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: