LEDANG – “Belum sempat kami makan malam di luar, saya dikejutkan panggilan telefon mengatakan rumah terbakar.
“Saya bergegas pulang dan tergamam lihat separuh bahagian rumah sudah musnah terbakar,” demikian luahan mangsa kebakaran di Batu 18, Kampung Tengah Sialang, Tangkak, malam kelmarin.
Ketika kejadian Azlan Ali, 36, bersama isteri dan dua anaknya tiada di rumah kerana membeli belah pakaian sebelum menikmati makan malam di bandar Tangkak.
Menurutnya, dia sekeluarga keluar rumah pada jam 8 malam dan ketika mencari-cari kedai makan, dia menerima panggilan telefon jam 9 malam daripada jiran mengatakan bilik hadapan rumahnya terbakar.
“Dalam fikiran ketika itu hanya teringatkan abang di rumah kerana sebelum saya keluar rumah, dia sedang tidur di bilik belakang.
“Tapi saya sangat lega apabila lihat abang sedang memadamkan kebakaran sejurus tiba di rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Azlan berkata, lima minit kemudian anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak tiba untuk mengawal api kerana bimbang merebak ke rumah berhampiran.
Katanya, dia mendiami rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu kira-kira dua tahun lalu selepas berpindah dari Johor Bahru.
Jelasnya, dia berpindah ke sini kerana ingin menjaga arwah bapanya yang uzur ketika itu selain turut tinggal bersama abangnya, Kamal, 50, yang masih bujang.
“Saya sedih kerana hanya ini tinggalan kenangan arwah ibu bapa yang ada, tetapi telah musnah dalam kebakaran.
“Walau bagaimanapun, saya reda dengan musibah ini dan bersyukur kerana abang selamat,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang, mereka akan menumpang di rumah abangnya sebelum mencari rumah sewa.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Abd Salim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira jam 9 malam.
Katanya, satu jentera bersama lima anggota yang diketuai Zakaria Hasan bergegas ke tempat kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke rumah berhampiran kira-kira sejam kemudian.
“Walau bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN, 27 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan