PENGUNJUNG SETIA

11 Februari 2012

ARAH PULIHARA PERIGI BERJASA


Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Penduduk di sekitar Pekan Bukit Gambir mungkin tidak mengetahui atau lupa dengan kewujudan sebuah perigi yang menjadi sumber bagi mereka mendapatkan air ketika kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada 2006.

Ketika itu kawasan berkenaan terputus bekalan air berikutan loji di Sungai Muar ditenggelami banjir dan penduduk terpaksa mencari sumber air bersih lain untuk keperluan harian.

Beberapa perigi digali dan sebuah daripadanya terletak di kawasan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir serta masih kekal hingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan berkata, berikutan sejarah perigi berkenaan yang menjadi sumber bekalan air penduduk ketika itu, beliau mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir mengekalkan serta menjaga perigi berkenaan dengan baik.

"Kita tidak dapat menjangka apa akan berlaku pada masa depan. Oleh itu kita perlu mengekalkan sumber air ini sebagai alternatif penduduk mendapatkan air bersih jika keadaan mendesak," katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shazarul Afidz Mohd Khairudin berkata, pihaknya sentiasa membersihkan perigi berkenaan dan tidak menghalang masyarakat di pekan itu mendapatkan bekalan air daripada perigi itu.

"Kami akan terus menjaganya kerana ia memberi banyak manfaat bukan saja kepada kami, malah penduduk sekitar.

"Sesiapa saja boleh datang untuk mengambil air dan kami juga berharap, masyarakat dapat bersama-sama menjaganya demi kepentingan semua pihak," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 11 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: