LEDANG 21 Feb. – Amalan berzanji dan berselawat wajar dikekalkan memandangkan ia semakin dilupakan di kalangan umat Islam di negara ini.
Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, amalan pembudayaan al-Quran, berzanji dan berselawat adalah salah satu cara bagi umat Islam memohon keberkatan Allah.
“Saya di UiTM Melaka akan sentiasa memimpin selawat, doa dan menjadi imam dengan niat untuk menjadi contoh dalam kalangan mahasiswa.
“Ini kerana dalam kalangan mahasiswa, mereka akan menjadi pemimpin bukan sahaja kepada diri mereka malahan pemimpin negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Johor dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Jawatankuasa Penduduk (JKK) Kampung Parit Pulai, Parlimen Ledang Muar baru-baru ini.
Mizan dalam masa yang sama menyelar sikap sesetengah pihak yang gemar mempertikaikan amalan berzanji dan berselawat sebagai amalan bidaah.
“Kalau nak sebut bidaah semua tak boleh buat, kitab suci al-Quran juga dikumpulkan secara berperingkat oleh Saidina Uthman Affan, Nabi Muhammad SAW tak buat semua itu dan adakah kita nak sebut tindakan Uthman sebagai bidaah,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan belia dan mahasiswa agar menjaga dan mempertahankan UiTM sebagai benteng terakhir orang Melayu.
Sebanyak 60 peratus di kalangan umat Islam di negara ini terdiri daripada orang Melayu justeru katanya, kesatuan dan semangat utuh antara masyarakat Islam Melayu akan memudahkan kerajaan mentadbir dan mengurus negara.
“Kita adalah populasi majoriti di negara ini, namun kalau kita umat Islam berpecah, keluar parti masuk parti lain, apa lagi yang tinggal, jangan kita mudah terpengaruh dan pertaruhkan masa hadapan agama, bangsa dan negara,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan