PENGUNJUNG SETIA

16 Disember 2012

BUDAK TOLAK TROLI PASAR RAYA RAIH SIMPATI

Oleh Azidan Nahar


Ledang: Seorang budak tujuh tahun membantu menolak troli dan mengangkat barang ke kenderaan pelanggan sebuah pasar raya di Tanjung Agas di sini, bagi membantu keluarga membeli makanan.

Murid Tahun Satu itu umpama penghuni tetap pasar raya itu sejak mula cuti sekolah November lalu, dan akan mengangkat barang pelanggan tanpa meminta upah, namun ia cukup mengundang simpati orang ramai.

Namun, kehadirannya menimbulkan kebimbangan berikutan usianya yang masih terlalu muda, manakala identiti sebenarnya tidak diketahui apabila berada di situ bersendirian sejak awal pagi hingga malam.

Tak pernah minta wang

Malah, dia sudah dikenali di situ kerana keletahnya dan difahamkan tidak pernah meminta wang atas bantuan dihulurkan serta tidak menerima pemberian makanan dan minuman.

Pekerja pasar raya, Ismail Isa, 28, berkata budak terbabit mula berada di situ sejak bulan lalu dan akan menolong tanpa diminta dan tidak pernah menyusahkan pelanggan.

"Sejak pagi lagi dia akan berada di sini, pada kebiasaannya dia akan menolong orang di pasar basah di belakang pasar raya ini sebelum datang ke sini hingga malam dengan berjalan atau menunggang basikal," katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang yang dihubungi BH, segera menghantar tiga kakitangannya ke pasar raya itu untuk menyiasat dakwaan terbabit sebelum menemui kanak-kanak berkenaan.

Walaupun sukar meyakinkan kanak-kanak itu untuk menunjukkan rumahnya, akhir selepas dipujuk selama setengah jam, dia akhirnya membawa kakitangan JKM ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

BH Ahad yang ikut serta mendapati kanak-kanak malang itu mendiami rumah sewa usang dihuni lapan orang, termasuk empat adik-beradiknya masih kecil, manakala ibunya tidak bekerja dan ayahnya masih mencari pekerjaan tetap.

Tak mampu bayar sewa

Mereka sekeluarga dikatakan terpaksa keluar daripada rumah sewa di Jalan Junid, Muar kerana tidak mampu membayar sewa dan menetap di situ sejak dua bulan lalu bersama nenek berusia 58 tahun dan anaknya.

Nenek terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Muzlifah, mengakui kadangkala mereka sekeluarga hanya makan bubur sekali sehari kerana tidak mampu menyediakan hidangan lain dengan pendapatan tidak seberapa daripada kerja menjual kuih dan bantuan masing-masing RM150 dan RM200 daripada JKM serta Jabatan Agama Islam Johor.

SUMBER: BH AHAD, 16 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: