LEDANG 24 Dis. - Dua spesies baharu tumbuhan dan katak ditemui hasil
Ekspedisi Saintifik Endau-Rompin Trans Selai-Peta 2012 yang dijalankan
baru-baru ini.
Penemuan berkenaan akan dipaparkan dalam jurnal saintifik dan
diketengahkan ke peringkat dunia supaya kajian lebih lanjut dapat
dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna yang
terdapat di hutan negara ini.
Pegawai Penyelidik Perbadanan Taman Negara Johor, Lili Tokimin
berkata, ekspedisi anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
(UTHM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu turut disertai pelbagai
pihak termasuk universiti tempatan.
Katanya, hasil ekspedisi tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan
Malaysia (FRIM) menemui dua spesies baharu daripada keluarga halia serta
tumbuhan renek yang pertama kali ditemui di dunia.
"Spesies ini adalah Scaphochlam Ys Sp yang ditemui di Sungai Marong
iaitu kali pertama ditemui. Turut ditemui satu spesies endemik dinamakan
Thottea Praetermissa di kawasan Upeh Guling dekat Taman Negara Endau
Rompin.
"Selain itu spesies orkid hutan yang sebelum ini hanya pernah ditemui
di Sumatera juga dijumpai. Orkid dari spesies Phalaennopsis Zebrina itu
pertama kali ditemui di Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemui
selepas Seminar Penemuan Saintifik Ekspedisi Endau Rompin Trans
Selai-Peta 2012 di Taman Negara Gunung Ledang di sini kelmarin.
Lili berkata, ekspedisi berkenaan turut menemui satu spesies baharu
katak di taman negara berkenaan dari keluarga Rana Picturata berwarna
hitam dan berbintik kuning.
Katanya, kesemua penemuan flora dan fauna terbabit adalah di kawasan
Taka Kunyit dekat Taman Negara Endau-Rompin dan kajian saintifik pada
Julai lalu itu dibentangkan dalam seminar tersebut.
Beliau berkata, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam seminar
berkenaan oleh penyelidik dari pelbagai universiti tempatan dan usaha
akan diteruskan untuk mengenal pasti spesies baharu dan langkah untuk
terus memeliharanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan