LEDANG 25 Dis. - Persembahan kempling Jawa yang menjadi tradisi dalam
majlis khatan beramai-ramai di daerah itu satu masa dahulu kini
dihidupkan semula di Taman Bandar Baru Bukit Gambir, dekat sini,
baru-baru ini.
Biasanya persembahan kumpulan dengan alatan muzik tradisional itu
diadakan pada sebelah malam serta dimeriahkan lagi dengan upacara
menepung tawar dan kenduri melibatkan penduduk setempat dalam suasana
penuh kekeluargaan.
Program tersebut sebagai satu simbolik masyarakat Jawa untuk meraikan
anak-anak mereka yang bakal menempuh alam dewasa sebelum dikhatankan
beramai-ramai keesokan paginya.
Jawatankuasa penduduk taman berkenaan menghidupkan semula tradisi itu
dengan memilih 16 kanak-kanak bertuah dalam satu majlis yang dirasmikan
Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.
Pengerusi program, Abdullah Mohamed berkata, Perkumpulan Kempling
Kampung Parit Kassan itu mengembalikan nostalgia kerana zaman dahulu ia
sangat sinonim dengan majlis-majlis berkhatan.
Menurutnya, program berkenaan diharap dapat meneruskan tradisi lama
yang kian dilupakan selain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim
dan membentuk satu komuniti yang bersatu padu.
"Secara tidak langsung penduduk melakukan kerja secara
bergotong-royong bagi menjayakan majlis ini termasuk mendirikan khemah,
memasak dan menyertai program sehingga selesai.
"Kanak-kanak terlibat kemudian dikhatankan di Klinik Kesihatan Bukit
Gambir dan program ini amat mendapat sambutan ibu bapa," katanya ketika
ditemui dalam majlis itu di balai raya taman tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan