LEDANG 21 Dis. - Cuti persekolahan ini dimanfaatkan oleh Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang, Bukit Gambir
dekat sini dengan menganjurkan program berkhatan beramai-ramai baru-baru
ini.
Program julung kali itu disertai 16 murid berusia antara sembilan
hingga 12 tahun dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Gambir, M. Asojan.
Sebelum berkhatan, kesemua peserta dimandikan dalam upacara bersiram
yang mendapat kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.
Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Sharif Mohamed berkata, berkata
program itu bertujuan mewujudkan hubungan erat antara ibu bapa dengan
pihak sekolah selain dapat menyemarakkan hubungan kemasyarakatan dan
semangat gotong-royong dalam masyarakat setempat.
"Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak
bercanggah dengan syariat Islam melalui upacara berkhatan beramai-ramai.
"Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos untuk
membuat kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara
berkelompok di sekolah," katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Yang turut hadir Guru Besar, Basir Konit; Guru Penolong Kanan (GPK)
1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid, Noraini Md Dom dan ibu bapa
peserta program.
Sharif berkata, kesemua murid yang menyertai program itu dikhatankan
oleh Dr. Mohd. Jalil Sharif dari Pusat Perubatan Keluarga yang juga
bekas murid sekolah itu yang mempunyai tiga buah klinik di Bukit Gambir,
Labis dan Jementah.
Sementara itu Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu
dapat mengembalikan nostalgia lama dalam kalangan masyarakat Melayu satu
ketika dahulu yang mengadakan upacara berkhatan di rumah secara
berkelompok.
Katanya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan lebih kepada
pembangunan pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan
yang berjaya dalam pelbagai bidang dan salah satu contohnya ialah Mohd.
Jalil.
"Ini terbukti dengan kejayaan bekas pelajar sekolah ini dalam bidang
perubatan iaitu Dr. Mohd Jalil yang sanggup berbakti kepada sekolahnya
dengan mengkhatankan peserta program berkhatan beramai-ramai," ujarnya.
Asojan berkata, kerajaan sentiasa prihatin walaupun terdapat
anak-anak yang tidak berjaya dalam pelajaran, mereka diberikan kursus
kemahiran secara percuma di beberapa institusi kemahiran sebelum
memasuki dunia pekerjaan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 DISEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan