PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2012

NURUL AZURA CARI BAPA KANDUNG JADI WALI KHAMIS INI

NURUL Azura Mohd. Sham (kiri) mencari bapa kandungnya, Mohd Sham Md. Esa bagi menjadi wali pernikahannya pada Khamis ini. 
 
LEDANG 17 Dis. - Seorang bakal pengantin dari Kampung Sungai Senduk, Grisek dekat sini mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada majlis pernikahannya yang dijadual berlangsung 20 Disember ini.

Nurul Azura Mohd. Sham, 28, berkata, bapa kandungnya, Mohd. Sham Md. Esa, 50-an, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan tidak dapat dikesan sejak berpisah dengan ibunya, Aripah Salleh, 58, sejak 21 tahun lalu.

"Sejak bapa meninggalkan kami sekeluarga, tiada sebarang berita mengenainya. Kami telah berusaha mengesannya dengan bertanya saudara dan keluarga sebelah bapa termasuk di kampung asal di Kuala Pilah namun tidak berhasil.

"Ahli keluarga di Kuala Pilah pun tidak tahu di mana bapa saya berada kerana sudah lama dia menghilangkan diri begitu sahaja tanpa khabar berita. Ini membuatkan kami buntu mencarinya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azura yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, segala persiapan untuk majlis perkahwinannya di kampung sudah dilakukan termasuk mengedarkan kad jemputan, tetapi urusan mencari bapanya belum berhasil.

Dia berharap bapanya tampil serta menjadi wali pernikahannya dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi talian 06-9728651 dan 018-2633442 atau bapa saudaranya, Amir Hamzah Hashim di talian 012-3039252.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: