PENGUNJUNG SETIA

11 Disember 2012

RUMAH TERBAKAR KETIKA SAKSI PERLAWANAN BOLA SEPAK

Rumah terbakar ketika saksi perlawanan bola sepak
Keadaan rumah yang terbakar.
 
LEDANG - Keseronokan  seorang lelaki menyaksikan perlawanan bola sepak separuh akhir Piala AFF Suzuki  antara Malaysia dengan Thailand bertukar sedih apabila rumahnya di Kampung Serom 3, Jalan Panggung, Sungai Mati, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu disedari Mohamad Yusof Md Said, 62, apabila dia terdengar bunyi seperti cawan pecah dari dapur rumah.

Menurutnya, dia yang  sedang menonton televisyen di ruang tamu segera ke dapur untuk mengenal pasti bunyi yang didengarinya selepas berasa  tidak sedap hati.

“Apabila tiba di tengah  rumah, tiba-tiba lampu terpadam dan saya nampak api sedang marak dari arah bilik belakang berdekatan dapur.

“Saya terkejut dan dengan pantas berlari ke bilik hadapan untuk mengejutkan isteri dan ibu yang sedang tidur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamad Yusof berkata, ketika kejadian, dia bersama ibu, isteri, anak saudara dan kakaknya di rumah,  manakala anak-anaknya berada di Kedah.

Katanya, selepas ahli keluarganya berjaya diselamatkan dengan dibawa keluar dari rumah, dia kembali masuk semula kediamannya untuk menyelamatkan barangan berharga.

Tetapi usaha dilakukan menemui kegagalan berikutan situasi kejadian yang merbahaya dan bimbang ditimpa bumbung.

Pesara kerajaan itu kerugian kira-kira RM100,000 berikutan rumah yang didiaminya sejak 10 tahun lalu, hangus  terbakar.

“Walaupun sedih dengan insiden ini, namun saya bersyukur kerana semua ahli  keluarga terselamat.
“Buat sementara waktu, kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah adik yang terletak di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Muniron berkata, pihaknya menerima panggilan  kecemasan jam 9.46  malam dan mengerahkan tujuh  anggota bersama satu jentera ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan  lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar.

“Apabila  tiba di tempat  kejadian, rumah berkenaan sudah terbakar 70 peratus dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran,” katanya.

Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih  dalam siasatan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: