LEDANG 3 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengingatkan pengundi tidak memilih mana-mana bekas ahli Barisan
Nasional (BN) yang bertanding atas tiket Bebas sebaliknya menentang
mereka habis-habisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, tiada istilah 'rakan BN' buat
mereka dan tiada sebarang simpati harus ditunjukkan walaupun ada
antaranya pernah menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan dalam UMNO
kerana berpaling tadah menentang BN.
"Beri tamparan mati kepada semua calon Bebas, tiada istilah rakan BN,
saya mahu jelaskan mereka bukan lagi ahli UMNO, mereka menentang kita,
apabila mereka tentang kita mereka adalah musuh kita.
"Jawatankuasa Disiplin sudah pecat mereka, jangan bagi simpati kepada
mereka," katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Rakyat
1Malaysia dan Pelancaran Gelombang Biru Wanita BN Ledang di Stadium
Foong Yoon Kong, di Bukit Gambir, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, calon BN Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, calon
BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, M. Asojan dan calon BN DUN Serom,
Abdul Razak Minhat.
Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa jentera BN bekerja 10 kali ganda
lebih kuat dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum hari mengundi bagi
memastikan kemenangan besar calon-calon BN.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berbangga
kerana Gelombang Biru kini boleh dilihat di mana-mana dan menerima
sambutan luar biasa rakyat di seluruh negara.
"Memang tidak diduga (sambutan Gelombang Biru) bukan sahaja dalam
kalangan orang Melayu, tetapi kaum lain juga. Kita harap BN akan sekali
lagi diberi kepercayaan (sebagai Kerajaan Pusat) di Putrajaya dan
(kerajaan negeri) di Nusajaya," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 MEI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan