PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2013

SULTAN IBRAHIM MAHU SEMUA PIHAK SATUKAN RAKYAT

JOHOR BAHRU 14 Mei - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya semua pihak bersungguh-sungguh menyatupadukan rakyat dan mengukuhkan kemajuan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Baginda menyifatkan tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri bagi tempoh tersebut sebagai amat mencabar dan semua bukan sahaja perlu gigih berusaha memajukan lagi negeri ini, malah meningkatkan keharmonian antara kaum.

"Waktu berkempen telah pun tamat. Jadi, saya tidak mahu mendengar ada lagi pihak yang terus menyebar fitnah serta hasutan berbaur politik yang mampu menimbulkan kebencian antara rakyat, menggugat perpaduan dan keamanan negara.

"Jika ada mana-mana wakil rakyat yang merasakan diri mereka tidak sesuai atau tidak mampu memikul tanggungjawab diberikan, mereka boleh bangun dan keluar sekarang.

"Sekarang adalah masa untuk bekerja," titah baginda pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Ibrahim.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi berusia 55 tahun itu mengetuai barisan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (ExcO) mengangkat sumpah pada pukul 10.35 pagi.

Sultan Ibrahim bertitah, sebagai pemerintah yang menaungi semua rakyat negeri ini, baginda tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan tidak memandang rendah kepada sesiapa.

Justeru, baginda mengarahkan supaya barisan Exco supaya perlu ada wakil daripada kaum Cina dan India.

Pada masa sama, baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat yang terpilih perlu berpegang kepada janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menunaikannya.

"Saya amat prihatin dan akan sentiasa mengambil berat tentang keadaan rakyat dan negeri saya. Oleh yang demikian, bagi pihak rakyat, saya mahu setiap janji yang dibuat mestilah ditunaikan," titah baginda.

Baginda juga mahu semua wakil rakyat memahami isi kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 iaitu negeri ini ditubuhkan lebih awal daripada kerajaan Malaysia dan peraturan serta tatacara bagi Dewan Undangan Negeri Johor dipatuhi.

Semua wakil rakyat juga, titah baginda perlu menjaga adab dan tatatertib apabila berada di dalam dewan negeri atau menghadiri mana-mana majlis rasmi di istana dengan berpakaian kemas dan kasut sentiasa bersih.

"Saya berharap Menteri Besar dan barisan Exco akan memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri Johor berbanding kepentingan peribadi.

"Saya akan sentiasa memerhati dan memberikan nasihat serta teguran demi kepentingan rakyat dan negeri saya," titah baginda. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 MEI 2013

Tiada ulasan: