PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2013

SEMBUNYI DI SEBALIK AMPAIAN

Wartawan Sinar Harian
Sembunyi di sebalik ampaian
Harun memeriksa barangan rampasan selepas menahan seorang lelaki di Tangkak, Khamis lalu.
 
LEDANG – Seorang peneroka dari Felda Sri Jaya, dekat sini berjaya memberkas remaja berusia 17 tahun kerana memecah masuk rumahnya pada jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, peneroka berusia 53 tahun itu menyedari kegiatan terbabit apabila ternampak kelibat manusia bersembunyi di sebalik ampaian pakaian di dalam bilik stor rumahnya.

“Suspek yang tidak bersekolah dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap ketika mangsa tiada di rumah.

“Suspek hanya sempat mengambil telefon bimbit, namun telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga 18 Mei ini dan orang ramai diminta supaya meningkatkan keselamatan kediaman masing-masing sebelum meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang panjang.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang dipercayai terbabit dengan empat kejadian pecah rumah dan satu kes ragut sekitar daerah ini pada 15 dan 18 April lalu, akhirnya ditahan polis.

Harun berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Jalan Sialang, Tangkak di sini, Khamis lalu ketika sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.

Menurutnya, suspek yang ditahan kira-kira jam 4 petang membawa kepada penemuan pelbagai barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, generator, kad pengenalan dan beberapa peralatan untuk melakukan pecah rumah di kediamannya.

“Kesemua barangan tersebut dianggarkan bernilai RM10,000, manakala sebahagian daripadanya dipercayai telah dijual kepada pelanggannya.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek berusia 27 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Harun berkata, suspek dari Tangkak juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan penahanannya berjaya menyelesaikan lima kes yang dilakukan suspek melibatkan kes ragut dan pecah rumah.

Katanya, lelaki terbabit tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan berkenaan sebagai pekerjaan utamanya sejak awal tahun ini.

“Suspek ditahan reman sehingga 16 Mei ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 MEI 2013

Tiada ulasan: