LEDANG 29 Mei - Seorang pekebun lelaki cedera
parah di muka dan kepala selepas ditimpa setandan kelapa sawit seberat
20 kilogram yang dipetiknya di sebuah kebun di Parit Bunga dekat sini
semalam.
Kejadian berlaku pukul 11 pagi mengakibatkan Teo Liang Chuan, 43,
patah tulang hidung manakala tempurung kepalanya retak sehingga terpaksa
dirawat di wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.
Ketika kejadian, isterinya yang berusia lingkungan 40-an berada
selang tiga pokok dari tempat Liang Chuan memetik buah kelapa sawit
berkenaan.
Difahamkan, mangsa mengambil alih tugas memetik buah itu di kebun
milik rakannya selepas salah seorang daripada pekerjanya berhenti
beberapa bulan lalu.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Teo, 60-an, berkata, anaknya
datang ke kebun itu ditemani isteri dan seorang pekerja warga Indonesia.
"Tandan kelapa sawit itu jatuh dari ketinggian 15 kaki (4.5 meter),
menimpa muka anak saya menyebabkan dia terus rebah dan pengsan. Menantu
saya kemudian segera membawa suaminya ke hospital dalam keadaan muka
berlumuran darah," katanya ketika ditemui di hospital.
Menurut Teo, ini merupakan pengalaman mengerikan menimpa anaknya itu
yang sudah 10 tahun berpengalaman memetik tandan kelapa sawit.
Meskipun kecederaan yang dihadapi Lian Chuan agak teruk, dia berharap anaknya dapat diselamatkan dan pulih seperti sedia kala.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan