LEDANG 8 Mei - Seorang jurutera dijumpai mati dengan tiga kesan
tembakan di sebuah ladang sawit di Jalan Bekok, Tangkak, dekat sini
malam tadi.
Mayat Muthu Pillai, 41, dari Batu Berendam, Melaka yang lengkap
berpakaian ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kiri kepala, dada
dan pinggang dijumpai orang awam pukul 7.30 malam.
Adik mangsa, P. Sivan, 38, berkata, dia mengetahui berita sedih itu
melalui kakak iparnya pukul 2.30 pagi ini yang menerima panggilan
telefon daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang.
"Pada mulanya, saya tidak percaya perkara itu sehinggalah selepas
membuat pengecaman mayat abang di rumah mayat Hospital Tangkak. Saya
sedih tetapi terpaksa menerima hakikat abang sudah meninggal dunia,"
katanya ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.
Sivan berkata, pada hari kejadian, Muthu bekerja separuh hari dan
sempat makan tengah hari bersama keluarganya dan pukul 2.30 petang
semalam memberitahu isterinya mahu keluar rumah menemui rakan tetapi
tidak dinyatakan lokasinya.
Sebelum ini Muthu sering kali pulang lewat ke rumah jika keluar
menemui rakannya menyebabkan kakak ipar tidak mengesyaki perkara buruk
menimpa suaminya, katanya.
Sivan mengakui terkejut dengan kejadian itu dan mendakwa abangnya
tidak mempunyai musuh serta tidak pernah mengadu diganggu individu tidak
dikenali.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris
ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk
mengetahui motif sebenar kejadian dan mengesan suspek terlibat.
"Kita juga sedang siasat untuk pastikan sama ada mangsa dibunuh di
tempat lain sebelum ditemui di tempat kejadian. Orang ramai yang
mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk
membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 MEI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan