PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2013

ENAM LANGKAH SUSULAN DARURAT JEREBU

JOHOR BAHRU 23 Jun - Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Alam negeri mengambil enam langkah segera susulan pengisytiharan darurat bencana jerebu di daerah Muar dan Ledang hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan, enam langkah segera itu merangkumi semua premis pejabat kerajaan dan swasta serta lain-lain tempat kerja.
Beliau berkata, yang pertama mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan, swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari, menentukan semua sekolah ditutup, mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian.
"Yang keempat menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah, menentukan penyebaran maklumat Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada media massa dijalankan seberapa kerap dan terakhir penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka," katanya.
Mohamed Khaled berkata, langkah tersebut bagaimanapun tidak membabitkan kedai, pasar, pasar raya, klinik, farmasi, kedai ubat dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang dirasakan perlu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang sehingga ke suatu masa akan ditarik balik.
Pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan jerebu khususnya di kawasan Muar meliputi dua daerah itu berada pada tahap IPU melebihi 500, iaitu pada tahap kecemasan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2013

Tiada ulasan: