Penduduk Muar,   Ledang kena patuh    darurat   
Keadaan jerebu yang teruk di sekitar Muar menghadkan jarak penglihatan kepada pengguna jalan raya. - Foto Shahrul M Zain
 
Tawau: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta penduduk Muar dan Ledang di Johor mematuhi sepenuhnya perintah darurat bencana jerebu bagi mengurangkan risiko kesihatan yang berpunca daripada masalah jerebu.

“Saya minta penduduk duduk di rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan.

Pelbagai jenis racun

Saya minta penduduk duduk di rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan," Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Kesihatan

“Ada pelbagai jenis racun dan bahan lain termasuk debu dan zarah atau bahan yang lebih besar yang kalau disedut boleh menimbulkan masalah khasnya kepada mereka yang mempunyai penyakit berkaitan paru-paru,” katanya selepas menghadiri majlis penghargaan warga Kementerian Kesihatan yang terbabit dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, di sini, semalam.

Subramaniam berkata melainkan ada sebab kecemasan, penduduk dua daerah itu perlu sentiasa berada dalam rumah dan mereka yang mempunyai kemudahan pendingin hawa digalakkan menggunakan 'recyling mode'.

Katanya kementerian akan memantau keadaan jerebu di seluruh negara termasuk dua daerah berkenaan sehingga keadaan kembali pulih dan selamat.

Beliau berkata semua klinik kesihatan sudah diarah supaya bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan pesakit yang mendapat rawatan.

Tutup sementara operasi

“Di peringkat kementerian, kita ada bilik operasi berfungsi dari pagi hingga jam 5 petang setiap hari bagi memantau kawasan terbabit daripada segi kesihatan,” katanya.

Mengenai penduduk Muar dan Ledang yang mungkin perlu keluar bekerja, beliau menjelaskan apabila darurat diisytiharkan bermakna majikan perlu menutup sementara operasi termasuk kilang.

Katanya hanya mereka yang bertugas dengan jabatan berkaitan kecemasan dibenarkan keluar bekerja.

Di Johor Bahru, kes berkaitan pernafasan serta asma di Johor meningkat lebih 100 peratus, sejak masalah jerebu berlaku di negeri ini dan keadaan itu akan berlarutan jika orang ramai mengambil mudah kesihatan mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yacob, berkata kanak-kanak paling berisiko menghadapi masalah kesihatan ketika jerebu berikutan salur pernafasan mereka belum matang, selain warga tua. 
 
SUMBER: BH 24 JUN 2013