PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2013

PENYEWA BANTU PADAM API

Nor'asyikin Mat Hayin
 
Penyewa bantu padam api
 
LEDANG – Tindakan pantas kira-kira 20 penyewa kediaman memadam kebakaran sebuah stor menyimpan kayu api berjaya menghalang api yang sedang marak daripada merebak ke lima unit rumah sewa  dalam kejadian di Batu 2 ½ Parit Bunga, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.57 petang itu memusnahkan setor terbabit yang terletak bersebelahan dengan deretan rumah sewa berkenaan.

Pemilik rumah sewa, Dawam Ali,72, berkata, kejadian itu disedari isterinya yang berada di dapur selepas terdengar bunyi letupan kecil dari arah belakang rumah.

Menurutnya, isterinya berasa tidak sedap hati seterusnya keluar ke rumah untuk meninjau keadaan sebelum terkejut melihat api menjulang tinggi membakar keseluruhan setor itu.

“Ketika itu saya sedang membaca al-Quran di ruang tamu sementara menunggu waktu Maghrib. Kemudian saya telah dimaklumkan isteri tentang kejadian tersebut.

“Penyewa-penyewa yang menyedari kejadian itu terlebih dahulu cuba memadamkan kebakaran dengan pancutan air paip, bahkan ada yang mengangkat air menggunakan baldi kerana tekanan air agak rendah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Pesara guru itu berkata, mujur kejadian itu disedari lebih awal bagi membolehkan penyewa-penyewa bertindak memadamkan api sementara menunggu ketibaan pihak bomba.

“Saya amat bersyukur kebakaran ini dapat dikawal dan hanya satu rumah sewa sahaja yang terjejas di bahagian dinding, tingkap dan bumbung,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Yusof Maneron berkata, pihaknya mengambil masa semalam 20 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 JUN 2013

Tiada ulasan: