PENGUNJUNG SETIA

12 Mac 2010

16 PASUKAN REBUT PIALA HJ MOHD BAHRI

Mohd Bahri (3 dari kiri) dan jawatankuasa penganjur Kejohanan Bola Sepak Liga ‘S’ bergambar bersama Piala Hj Mohd Bahri yang menjadi rebutan pasukan bertanding di Padang Bestari, Kampung Sagil Parit 3, Tangkak.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN


LEDANG: Sebanyak 16 pasukan bola sepak di daerah ini menyertai Kejohanan Bola Sepak Liga ‘S’ 2010 bagi merebut Piala Hj Mohd Bahri yang sedang berlangsung di Padang Bestari, Kampung Sagil Parit 3, Tangkak.


Kejohanan sempena Karnival Sukan Ledang bagi Peti Undi Sagil itu anjuran bersama Persatuan Belia Bestari, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Umno Cawangan Kampung Sagil Parit 3 dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu yang dijangka berakhir pada penghujung Mei ini.


Pengerusi JKKK Sagil Parit 3, Mohd Bahri Sakrani, berkata kejohanan liga bola sepak itu bertujuan untuk mencungkil bakat anak-anak muda tempatan yang meminati permainan itu di samping mengisi masa lapang mereka terutama pada cuti mingguan.


Katanya, minat mereka dalam permainan bola sepak dapat dikembangkan melalui kejohanan liga itu sambil mengasah bakat masing-masing dalam sukan itu.


“Penyertaan yang diterima amat menggalakkan di mana sebanyak tujuh pasukan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, DUN Tangkak (5), DUN Serom (3) dan satu pasukan daripada DUN Bukit Serampang.


“Kejohanan liga itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sempena Program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Ledang pada 13 Februari lalu,” katanya yang ditemui ketika menyaksikan perlawanan antara Arowana FC dengan Serom Utama FC.


Mohd Bahri berkata, kejohanan liga bola sepak itu diharap akan berterusan bagi memberi peluang kepada anak-anak muda mengembangkan bakat mereka di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kesukanan di kalangan pemain yang menyertainya.


Pengerusi Belia Bestari Sagil Parit 3, Azraime Abu Baidah, pula berkata pihak penganjur menyediakan hadiah yang lumayan kepada pasukan yang memenangi kejohanan ini sebagai dorongan kepada mereka untuk terus aktif dalam sukan tersebut.


Katanya, johan liga akan menerima sebuah piala pusingan berserta wang tunai sebanyak RM2500, piala iringan dan sijil penyertaan manakala naib johan bakal mendapat wang tunai bernilai RM1500, piala iringan dan sijil penyertaan.


Tambah beliau lagi, pasukan yang mendapat tempat ketiga dalam kejohanan itu akan membawa pulang wang tunai RM1000 serta piala iringan dan sijil penyertaan.


Beliau berharap penduduk di daerah ini khususnya yang meminati sukan bola sepak dapat meluangkan masa menyaksikan perlawanan yang diadakan untuk memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding.


SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 12 MAC 2010

Tiada ulasan: