PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2010

80 BELIA SERTAI KEM JATI DIRI

Mohammad (duduk 4 dari kiri) dan Md Rais (3 dari kanan) menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama para peserta Kem Jatidiri Bangsa Belia 4B Ledang di perkarangan Masjid Jamek Bukit Gambir sebelum bergerak ke Teluk Gorek, Mersing.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 80 orang belia di daerah ini menyertai Kem Jati Diri Bangsa anjuran bersama Gerakan Belia 4B (Belia 4B) Kawasan Ledang, Majlis Belia Daerah Ledang (MBDL) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Johor di Teluk Gorek, Mersing.

Pengerusi Belia 4B Ledang, Md Rais Said, berkata tujuan kursus selama tiga hari itu bagi memantapkan keyakinan dan jati diri para belia di daerah ini agar mencintai bangsa dan negara mereka.

Pengerusi Belia 4B Ledang, Md Rais Said

Katanya, sasaran kursus kali ini menjurus kepada para belia yang berusia 20 tahun ke atas kerana mereka dilihat lebih matang dan dapat membina keyakinan diri serta disiplin yang tinggi dalam membimbing golongan belia yang lain.

“Harapan kita agar belia yang mengikuti kursus ini dapat memanfaatkan input-input yang diperolehi untuk digunakan dalam menggerakkan para belia di cawangan yang mereka anggotai.

“Kursus-kursus seumpama ini akan diteruskan dari masa ke semasa agar para belia dapat memahami dan mengenalpasti hala tuju sebenar mereka pada masa akan datang dalam membentuk belia yang berwawasan,” katanya pada majlis pelepasan peserta kursus itu di Balai Mesyuarat, Masjid Jamek Bukit Gambir, di sini.

Majlis pelepasan itu dilakukan oleh Pengarah Jasa Negeri Johor, Mohammad Abu Bakar yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Belia 4B Ledang, Sharihan Jani.

Rais berkata, peserta yang terpilih mengikuti kursus itu merupakan belia yang bertuah kerana mereka dipilih dari kalangan individu yang mempunyai semangat jatidiri daripada 20 cawangan Belia 4B di kawasan Ledang yang akan memimpin para belia di peringkat cawangan.

Mohammad pula berkata, kursus yang dikendalikan oleh Jasa itu bertujuan untuk menerapkan semangat cintakan negara kepada para peserta yang terpilih.

Katanya, para peserta perlu memberikan perhatian dan tumpuan semasa kursus dan menggunakan sepenuhnya penglibatan mereka dalam program itu supaya manfaat yang diperolehi akan digunakan untuk mentadbir persatuan yang dianggotai.

Menurutnya, apabila kecintaan pada bangsa dan negara ada pada diri setiap belia, keselesaan yang dinikmati pada hari ini akan berterusan kerana mereka akan sentiasa menjaga kemakmuran yang telah dibina daripada diganggu gugat oleh pihak lain.

Beliau berharap para peserta dapat memberikan tumpuan yang terbaik agar hasrat Belia 4B Ledang untuk membina keyakinan dan jati diri para ahlinya tercapai.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 23 MAC 2010

Tiada ulasan: