LEDANG: Seramai 73 orang mangsa ribut di Kampung Serom 5 Hulu dan Serom 8 menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri bagi meringankan beban akibat bencana alam itu, baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan pembantu khasnya, Abd Hamid Ali itu sebagai tanda simpati kepada semua mangsa kejadian ribut, pada malam Rabu lalu.
Abd Hamid berkata, sebagai wakil rakyat kawasan itu, Hamim merasai kesulitan dihadapi mangsa dan menyalurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban mereka.
“Beliau simpati dengan mangsa ribut di kedua-dua kampung ini yang menerima musibah, namun masih bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa dan berdoa semoga tidak berulang," katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di Balai Raya Serom 5 Hulu, di sini mewakili Hamim yang berada di Kemboja kerana melakukan misi kemanusiaan di sana.
Turut hadir, Ketua Kampung Serom 5 Hulu, Sipan Selamat dan Ketua Kampung Serom 8, Hamjah Marjuki.
Dalam kejadian itu, seramai 57 penduduk di Kampung Serom 5 Hulu dilanda kejadian itu dengan lapan rumah mengalami kerosakan teruk manakala seramai 16 mangsa di Kampung Serom 8 dengan tiga kediaman rosak teruk.
Setiap keluarga yang kediaman mereka mengalami kerosakan teruk menerima sumbangan RM500 manakala yang lain menerima RM100 setiap keluarga.
Mangsa, Holid Misbah, 44, berkata walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, namun dia bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan pemimpin itu yang turut bersimpati di atas kejadian menimpa penduduk kampung.
“Saya berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat dan sumbangan diberikan dapat digunakan untuk membaiki kerosakan rumah walaupun tidak mencukupi kerana bumbung rumah habis diterbangkan angin,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO EDISI JOHOR, 15 MAC 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan