PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2010

KEMUDAHAN BAWA PELBAGAI MANFAAT


ORANG ramai menyaksikan perarakan motosikal kuasa tinggi pada majlis perasmian jalan Sengkang-Kampung Teratai di Ledang, Johor, baru-baru ini.

LEDANG 10 Mac - Kewujudan jalan baru yang menghubungkan Sengkang dengan Kampung Teratai mendapat reaksi positif daripada masyarakat tempatan yang yakin kemudahan itu akan membawa pelbagai manfaat.

Rangkaian jalan raya terbaru itu dijangka memudahkan perjalanan penduduk antara daerah Ledang dan Segamat untuk menjalankan pelbagai urusan.

Bagi Ketua Kampung Sengkang Batu 20, Adi Omar, 57, pembinaan jalan tersebut merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan masyarakat di luar bandar.

"Jalan ini memang wujud sebelum ini, namun ia tidak lebih daripada jalan tanah merah untuk penduduk kampung pergi ke ladang-ladang.

"Saya amat gembira dengan inisiatif kerajaan untuk menaik taraf jalan ini kerana ia akan memudahkan perjalanan penduduk di sekitar Bukit Gambir ke Segamat," katanya.

Bagi Ali Sulaiman, 67, dia telah menggunakan jalan baru tersebut sebanyak tiga kali untuk pergi ke Segamat.

"Memang saya berpuas hati dengan jalan baru ini sebab perjalanan hampir 20 kilometer dapat dijimatkan.

"Daripada apa yang saya lihat, banyak juga kenderaan sudah mula menggunakan jalan ini dan saya yakin jumlahnya akan bertambah," katanya yang juga penduduk Kampung Sengkang Batu 20.

Seorang penduduk di Sagil, Koned Manodo, 76, berpendapat, pembukaan jalan baru yang lebih selesa dan selamat itu banyak menjimatkan masa perjalanan.

"Saya masih tidak berpeluang lagi menggunakan jalan ini, namun ramai kawan yang beritahu perjalanan menjadi lebih singkat," katanya.

Dia berharap kerajaan akan terus menjalankan lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar bagi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2010

Tiada ulasan: