PENGUNJUNG SETIA

11 Mac 2010

JALAN BARU LEBIH LUAS, SELESA


ABDUL Ghani Othman semasa merasmikan jalan baru Sengkang-Kampung Teratai di Ledang, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/Ishak RahmaD


LEDANG 10 Mac - Orang ramai yang menggunakan laluan Bukit Gambir ke Bukit Kepong di sini bukan hanya dapat menjimatkan petrol malah menyingkatkan lagi masa perjalanan dengan pembukaan jalan baru Sengkang-Kampung Teratai baru-baru ini.

Laluan sepanjang 10.8 kilometer itu jauh lebih singkat berbanding jalan lama sepanjang kira-kira 30 kilometer yang perlu melalui pekan Kundang Hulu dan Gersik.

Asalnya ia jalan tanah merah bagi kegunaan pekerja ladang dan penduduk kampung, kini jalan Sengkang-Kampung Teratai dinaik taraf untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai.

Projek pembinaan jalan yang bermula 4 September 2009 ini berjaya disiapkan dalam tempoh lima bulan lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 22 Januari lalu.

Menelan belanja hampir RM15 juta di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, jalan baru ini menawarkan laluan pintas antara daerah Ledang dan Segamat.

Majlis pelancaran jalan baru tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman baru-baru ini di Kampung Sengkang Batu 20 di sini.

Abdul Ghani yakin projek menaik taraf jalan tersebut akan dapat memberi implikasi positif bagi merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

"Projek ini dilaksanakan bagi kesejahteraan penduduk di kawasan luar bandar yang amat memerlukan tumpuan dalam aspek infrastruktur.

"Harapan kerajaan adalah supaya jalan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi penduduk agar saling berhubung dan merancakkan lagi kegiatan ekonomi," katanya.

Menteri Besar turut memuji syarikat kontraktor bumiputera, Innoseven Sdn. Bhd., yang berjaya menyiapkan projek itu dalam tempoh lebih singkat daripada jangkaan selain menepati piawaian yang ditetapkan.

Jalan tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan raya antara daerah Ledang dan Segamat dan ia dapat berfungsi sebagai laluan barangan pertanian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MAC 2010

Tiada ulasan: