PENGUNJUNG SETIA

24 Mac 2010

5,000 PELAJAR BUKA AKAUN PERCUMA TH


MD. Pilus Md. Yusof (tengah) menerima tajaan dana daripada Hamid Ali untuk pelajar membuka akaun Tabung Haji di Muar, Johor, semalam.


MUAR 23 Mac - Lebih 5,000 pelajar dari daerah ini dan Ledang berpeluang membuka akaun simpanan di Tabung Haji (TH) secara percuma bagi memupuk sifat menabung pada usia muda.

Inisiatif yang diambil Tabung Haji daerah Muar dengan usahasama sebuah syarikat korporat serta sumbangan peribadi Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri itu juga akan membolehkan mereka menjadi ahli Kelab Taha.

Dana berjumlah RM10,500 berjaya dihimpunkan bagi tujuan tersebut dengan deposit simpanan sebanyak RM2 akan diagih-agihkan kepada para pelajar terbabit.

Pengurus Tabung Haji Daerah Muar, Md. Pilus Md. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Ledang serta sekolah yang terlibat bagi memilih pelajar yang layak.

Di samping berpeluang membuka akaun simpanan Tabung Haji sejak usia remaja, para pelajar yang terlibat juga akan menikmati pelbagai manfaat keahlian Kelab Taha termasuk mengikuti klinik bimbingan peperiksaan serta hadiah khas kecemerlangan.

"Jika sebelum ini, mungkin ada sedikit kesukaran bagi para pelajar membuka akaun simpanan di Tabung Haji, namun kami telah memudahkan prosesnya dengan usaha ini.

"Terima kasih kepada sumbangan daripada para penaja bagi membolehkan murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah ini membuka akaun secara terus dan percuma," katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Warga Pendidik di Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar di sini hari ini.

Pada majlis itu, sumbangan sebanyak RM5,000 disampaikan oleh wakil Ahli Parlimen Ledang, Hamid Ali, RM5,000 daripada sebuah syarikat korporat dan RM500 daripada orang perseorangan.

Sementara itu, menurut Pegawai Pelajaran Daerah Muar & Ledang, Ramli Abd. Samat, pihaknya amat mengalu-alukan usaha Tabung Haji dalam menggalakkan para pelajar untuk menabung pada usia muda.

"Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan memandangkan pelbagai manfaat kepada para pelajar pada masa depan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 MAC 2010

Tiada ulasan: