PENGUNJUNG SETIA

15 Jun 2010

15 TAHUN HIDU TAHI AYAM

SENGKANG - Kira-kira 108 penduduk di Kampung Melepang Gantian di sini, menderita kerana terpaksa menghidu bau busuk tahi ayam setiap hari sejak 15 tahun lalu.

Masalah itu berpunca daripada ladang ternakan ayam yang terletak berhampiran kediaman penduduk di sini.

Ketua UMNO cawangan kawasan berkenaan, Azman Ahmad, 41, berkata, kebanyakan penduduk di sini sudah jelak menghidu bau tahi ayam dan lalat yang banyak.

Menurutnya, terdapat enam reban ayam menempatkan hampir 8,000 ekor ayam dalam sesuatu masa di kawasan tanah seluas empat ekar itu.

“Kebanyakan penduduk kecewa dengan sikap pengusaha kerana meneruskan operasinya walaupun mendapat bantahan penduduk.

“Perkampungan ini tidak wajar dijadikan ladang ternakan berikutan kedudukannya 50 meter daripada rumah penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sepatutnya jarak di antara ladang ternakan mereka dengan tempat kediaman penduduk adalah sejauh 200 meter.

“Ia terjadi disebabkan tindakan pengusaha tidak membuang tahi ayam dan membiarkannya sehingga 45 hari mengikut jangka masa pembesaran ayam,” katanya.

Salah seorang penduduk, Tukiman Tumin, 73, berkata, penduduk sudah tidak tahan menghidu bau busuk setiap hari hingga mengganggu kehidupan harian.

“Bagi penduduk yang mengadakan kenduri perkahwinan, terpaksa menahan malu dengan tetamu yang hadir kerana banyak hidangan dihurung lalat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan Muniyandy berkata, masalah itu terjadi sJustify Fullejak sekian lama dan perlu diatasi segera demi kesejahteraan penduduk.

“Penternak dikehendaki menggunakan efektif microganisme (EM) secara kerap kerana ia mampu mengurangkan masalah bau tahi ayam.

“Mereka juga diberikan pilihan iaitu mengubah sistem ternakan kepada secara tertutup dan melengkapi kawasan ternakan dengan sistem saliran sistematik” katanya.

Katanya, jika penternak masih ingkar dengan arahan berkenaan, mereka diarahkan supaya menutup ladang ternakan itu kerana tidak mengikut kriteria ditetapkan dan menyusahkan penduduk.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 15 JUN 2010

Tiada ulasan: