PENGUNJUNG SETIA

16 Jun 2010

WADAH UTAMA RAKYAT JOHOR



PAGI ini dua sejarah telah dilakarkan, serentak.

Pertama, apabila anda terjaga dari tidur, anda telah mempunyai surat khabar sendiri. Itulah Sinar Harian, yang diterbitkan khusus untuk orang Johor.

Tidak seperti akhbar-akhbar lain, Sinar Harian Edisi Johor ini akan menyiarkan hanya berita mengenai negeri paling selatan di Semenanjung. Setiap halaman memberi liputan untuk setiap daerah di negeri ini.

Sama ada berita, rencana, gambar, semuanya mengenai apa yang terjadi di tempat anda. Kami menyiarkan apa sahaja yang anda perlu tahu di sekeliling anda – politik, ekonomi, sosial, agama, pendidikan, bisnes, masalah setempat, hiburan hatta gosip.

Sama ada peristiwa suka, duka, kelakar atau selamba, akan kami paparkan setiap hari untuk bacaan anda. Jadikan akhbar baru ini sumber informasi anda. Sebagai pembuka selera, selama tiga hari – 16, 17 dan 18 Jun – akhbar anda diedarkan secara percuma.

Tetapi mulai Sabtu (19 Jun), akhbar orang Johor ini akan dijual dengan harga RM1, sebenarnya amat murah untuk sebuah wadah ilmu, informasi, hiburan dan bacaan santai anda.

Kedua, bagi seluruh karyawan Sinar Harian, hari ini juga mencatat sejarah tersendiri. Dengan memasuki Negeri Berdaulat Johor Darul Takzim, kami telah menawan seluruh Semenanjung.

Kami mula terbit 31 Julai 2006 sebagai akhbar komuniti bagi Kelantan dan Terengganu. Hanya beberapa bulan setelah kejayaan di Serambi Makkah dan negeri Penyu, kami melebarkan sayap di Pahang.

Setahun selepas itu kami menawan Selangor. Sambutan hangat dari pembaca meyakinkan kami untuk menawan negeri-negeri lain satu demi satu – Melaka & Negeri Sembilan, kemudian Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Tahun lalu kami menawan Perak Darul Ridzuan.

Dan, pagi ini kami melengkapkan penjelajahan dengan menawan Johor. Kami bersyukur kerana setelah tiga tahun menjalin kemesraan di negeri-negeri lain, akhirnya kami dapat menabur bakti di negeri ini.

Bermula di Kelantan, Sinar Harian adalah akhbar komuniti pertama di Malaysia. Sebagai akhbar komuniti yang sentiasa cakna (prihatin) terhadap rakyat, kami akan melaporkan apa sahaja yang terjadi di sekeliling anda.

Tidak syak lagi tabloid ini akan menjadi wadah baru orang Johor, akan menceriakan setiap pagi anda dengan berita-berita eksklusif yang tidak dapat disiarkan oleh media lain.

Dengan konsep bebas, tetapi bertanggungjawab, kami akan membawakan berita-berita eksklusif setiap keluaran.

Eksklusif, sebab apa yang kami paparkan bukan berita nasional yang disiarkan oleh akhbar-akhbar harian arus perdana, sebaliknya berita, rencana dan gambar-gambar yang berlaku betul-betul di kawasan anda.

Sebenarnya kewujudan akhbar komuniti (wilayah) bukan sesuatu luar biasa. Dengan kepesatan pembangunan di peringkat daerah di seluruh Johor, banyak peristiwa yang berlaku pada peringkat daerah, majlis perbandaran, juga kampung tidak dapat ditampung oleh harian arus perdana.

Sebagai akhbar komuniti, kami akan memberi liputan mengenai apa-apa acara dan peristiwa yang berlaku di tempat anda.

Ertinya, mulai hari ini anda tidak sahaja membaca apa yang terjadi di Johor Bahru atau Muar, tetapi wartawan Skuad Cakna kami akan membawakan berita dari Mersing, Tanjung Piai, Segamat, dan kawasan-kawasan yang sebelum ini tidak pernah dijengah oleh orang surat khabar.

Sebagai suara komuniti anda, tumpuan pengisian kami adalah apa sahaja kegiatan masyarakat di sekitar kejiranan anda. Ketika akhbar-akhbar arus perdana memperuntukkan hanya satu atau dua halaman pengisian berita daerah, kami ada 32 halaman setiap hari untuk berita di kawasan anda.

Kami menyediakan sekurang-kurangnya satu halaman sehari bagi setiap daerah.

Sumber pemberitaan kami amat luas dan tidak terhad pada individu tertentu – daripada anggota Exco, wakil rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, pemimpin NGO, polis, ketua kampung, imam, cikgu, petani, nelayan dan anda semua.

Bagi kami, setiap orang adalah sumber berita. Mulai hari ini, setiap orang boleh masuk surat khabar!

Sifat kami lokal, iaitu membuat liputan untuk kawasan anda. Prinsip kami neutral, iaitu memberikan ruang untuk siapa sahaja tanpa mengira kaum, agama, dan pegangan politik. Semangat kami nasional, iaitu ingin membawa anda semua untuk sama-sama menjayakan wawasan negara. Fikiran kami global, iaitu kami ingin membimbing anda untuk menyesuaikan mental dan fizikal menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.

Jadi, mulai hari ini jadikan Sinar Harian akhbar utama anda, boleh ekk?

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 16 JUN 2010

Tiada ulasan: