PENGUNJUNG SETIA

14 Jun 2010

15 TAHUN TERPAKSA TAHAN PENCEMARAN BAU, LALAT

Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhnews@bharian.com.my

Pelekat yang dipenuhi lalat dan gelas yang dikerumuni serangga itu menimbulkan rasa jijik.

Sebahagian reban ayam yang menjadi punca pencemaran bau dan lalat.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN


Reban ayam, kandang babi punca penduduk menderita

LEDANG: Sebahagian penduduk Kampung Melepang Gantian, Sengkang Batu 20, dekat Bukit Gambir mengambil keputusan berpindah ke kawasan lain kerana tidak tahan menanggung bau busuk akibat 'serangan' lalat setiap hari berpunca daripada reban ayam yang diusahakan pengusaha ternakan di situ.

Kampung terbabit yang mempunyai 22 rumah kini hanya 17 buah yang dihuni oleh kira-kira 108 orang yang tinggal di situ walaupun terpaksa berdepan dengan pencemaran bau tahi ayam dan lalat setiap hari.

Tinjauan Edisi Johor mendapati walaupun pelekat lalat digunakan untuk memerangkap serangga itu, ia dipenuhi lalat dalam tempoh beberapa minit saja, malah ia turut memenuhi gelas minuman yang terdedah. Meja yang digunakan turut dikerumuni lalat seolah-olah menunjukkan kawasan gerai itu kotor.

Ketua UMNO Cawangan kampung itu, Azaman Ahmad, 41, berkata masalah tersebut bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu dan aduan kepada pihak berwajib telah berulang kali namun tiada tindakan sewajarnya diambil menyebabkan pengusaha terbabit terus menjalankan operasinya.

Beliau berkata, di peringkat awal hanya masalah lalat saja yang membelenggu kehidupan seharian penduduk, namun lama kelamaan timbul pula masalah bau tahi ayam yang kurang menyenangkan sehinggakan ada penduduk yang berpindah dari kampung itu akibat tidak tahan dengan pencemaran bau terbabit.

“Bau tahi ayam semakin kerap terutama selepas hujan dan begitu meloyakan sehinggakan penduduk yang tinggal berhampiran dengan reban terpaksa menutup tingkap setiap hari bagi mengelakkan terhidu bau busuk.

“Jarak rumah penduduk yang terdekat dengan reban ayam tersebut hanya kira-kira 100 meter, walaupun aduan dibuat namun pengusaha itu menambah jumlah reban daripada tiga buah kepada enam buah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Azaman berkata, masalah penduduk kampung itu sering ditimbulkan dalam mesyuarat cawangan serta diajukan kepada pihak yang berkenaan dan apabila pihaknya menemui pengusaha tersebut agar menyembur ubat bagi menghilangkan bau, ia hanya dilakukan bagai melepaskan batuk di tangga saja.

Katanya, pencemaran bau bukan saja dari reban ayam malah daripada pusat ternakan babi yang ada berhampiran kampung itu dan air kumbahan dari ladang itu akan melimpah ke parit di kampung itu terutama apabila hujan lebat menambah 'aroma' bau busuk berkenaan.

Peniaga warung, Lailati Shaari, 40, berkata masalah lalat dan bau tahi ayam mengganggu keselesaan pelanggan yang datang bersarapan atau minum di kedainya.

Katanya, pelanggan terpaksa menutup cawan atau gelas minuman dan jika dibiarkan terdedah, lalat akan mengerumuni dan sekali gus menimbulkan rasa jijik dan bagi yang memesan makanan terpaksa menghabiskannya dengan cepat.

“Kedudukan warung saya dengan reban ayam tersebut jaraknya kira-kira 300 meter, namun bau busuk tetap dihidu setiap hari dan lalat semakin banyak hingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan,” katanya.

Warga emas, Tukiman Tumin, 73, berkata keadaan lebih membimbangkan apabila ada penduduk kampung itu yang mengadakan majlis perkahwinan kerana makanan yang dihidangkan untuk tetamu dipenuhi lalat dan terpaksa menutupnya setiap masa selain menggunakan alternatif lain menghalaunya.

Katanya, selain dihurung lalat, tetamu terpaksa menghidu bau busuk tahi ayam sekali gus menimbulkan rasa kurang selesa walaupun seketika tetapi mereka yang tinggal di kawasan berkenaan terpaksa menghidunya setiap hari.

Beliau berharap pengusaha terbabit dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalah itu yang berlarutan sekian lama dan agensi kerajaan yang berkenaan dapat memantau serta mengambil tindakan sewajarnya jika pengusaha tidak mematuhi peraturan atau enggan bekerjasama.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 14 JUN 2010

Tiada ulasan: