PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2010

DAFTAR SEGERA DENGAN PERKESO ELAK DIDENDA

MUAR 2 Jun - Pemilik syarikat di daerah ini dan Ledang yang belum berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disaran berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan sempena Ops Kesan Perkeso tidak lama lagi.

Pengurus Perkeso cawangan Muar, Jamalluddin Mohamad berkata, pendaftaran pekerja oleh majikan dengan Perkeso amat penting untuk memastikan kebajikan dan keselamatan para pekerja terjamin.

"Bagi bulan Julai ini, kita akan menggerakkan Ops Kesan secara besar-besaran dan syarikat yang didapati tidak berdaftar boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.

"Sebaik-baiknya, saya menasihati para majikan datang secara sukarela ke Pejabat Perkeso cawangan Muar supaya kita dapat menyelesaikan perkara ini tanpa sebarang tindakan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, majikan yang mendaftar secara sukarela tidak akan dikenakan tindakan.

"Kami akan melawat syarikat-syarikat di seluruh daerah Muar dan Ledang berdasarkan kawasan-kawasan yang telah dibahagikan.

"Ops Kesan ini memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang belum berdaftar dengan Perkeso dan ia meliputi semua sektor perniagaan," katanya.

Berdasarkan perangkaan terkini, sebanyak 12,377 majikan terdapat di daerah Muar dan Ledang telah berdaftar dengan Perkeso dengan 5,557 syarikat masih aktif.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 JUN 2010

Tiada ulasan: