PENGUNJUNG SETIA

21 Jun 2010

GENG SAMUN WARGA ASING TUMPAS

JOHOR BAHRU - Sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ledang berjaya menangkap enam lelaki warganegara Indonesia dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah waktu malam di kawasan ternakan ayam di Jalan Belading, Tangkak, Ledang, 18 Jun lalu.

Susulan tangkapan itu, pada 19 Jun jam 1.45 pagi, dua wanita warga Indonesia dicekup polis di Jalan Hospital, Taman Tangkak Jaya, Ledang kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang sama.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menyifatkan lapan suspek yang ditahan itu merupakan kumpulan samun dan pecah rumah waktu malam yang bertindak ganas kerana mencederakan mangsanya ketika melakukan samun.

“Ini merupakan kumpulan yang terlibat dalam samun, ganas, tidak perikemanusiaan, yang fikir kerja merompak dan mencederakan orang. Mereka fikir boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Menurutnya, berkat usaha gigih polis Johor dan maklumat orang ramai, polis berjaya cekup lapan orang dan merampas pelbagai barangan.

“Kita percaya berjaya menumpaskan satu sindiket yang ganas dapat menghilangkan kebimbangan masyarakat,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 17 tahun hingga 36 tahun kini ditahan reman sehingga 25 Jun.

Siasatan awal mendapati kumpulan ini terlibat dalam 16 kes samun.

SUMBER: SINAR HARIAN EDISI JOHOR, 22 JUN 2010

Tiada ulasan: