PENGUNJUNG SETIA

24 Jun 2010

SEKTOR PKS TINGKAT EKONOMI NEGERI

ABDUL Ghani (empat dari kanan) diberi penerangan mengenai produk yang dikeluarkan oleh syarikat JT Sinaran Enterprise ketika melawat gerai Karnival Pertanian Ledang di Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bercambah secara meluas di Johor berjaya meningkatkan ekonomi kira-kira 700 pengusaha yang mampu mengeluarkan nilai jualan tahunan menjangkau RM70 juta dalam tempoh 12 tahun lalu selepas penekanan diberi kepada sektor itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata sektor itu yang semakin berkembang menjadikan negeri ini antara yang paling ramai pengusaha IKS menjalankan operasi terutama produk yang berasaskan pertanian.

Katanya, Kerajaan negeri telah memberikan kemudahan berbentuk geran secara langsung untuk pengusaha PKS memulakan operasi perniagaan mereka malah mereka yang ingin mengembangkan perusahaan sedia ada juga mendapat faedah daripada kemudahan yang disediakan itu.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan pinjaman bernilai RM2 juta yang dikelolakan oleh Agrobank bagi membantu pengusaha PKS mengembangkan perusahan mereka.

“Harapan kita agar para pengusaha merebut peluang itu bagi mengembangkan operasi mereka dan jika di Ledang terdapat kira-kira 40 pengusaha PKS, ia perlu digandakan supaya kegiatan itu dapat meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat Karnival Pertanian Ledang di Dataran Pulau Penarik, Sungai Mati bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-2 Pengisytiharan Daerah Ledang.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abd Rahman; Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop dan Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Johor, Johari Jemain.

Sementara itu Abdul Ghani berkata, kerajaan telah bersetuju untuk membina pusat pameran perabot di daerah ini yang telah diusulkan sejak empat tahun lalu yang turut menempatkan pusat PKS bukan saja untuk negeri Johor malah seluruh negara.

Katanya, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM150 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membina pusat perabot tersebut di lokasi yang telah dikenalpasti di Tangkak yang kini di peringkat reka bentuk.

“Kita menyambutnya dengan rasa yakin di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ketika membentangkan RMK-10 memberi penekanan dalam rancangan tersebut untuk memberi kemudahan dalam bentuk pinjaman, kemahiran, kepakaran dan pengurusan untuk membangunkan sektor PKS.

“Daerah Muar dan Ledang merupakan pusat pengeluar perabot terbesar di negara ini dan paling tinggi nilai eksportnya dan amat sesuai pusat pameran tersebut dibina di sini berdasarkan keperluan pasaran walaupun dalam bentuk kecil dan sederhana,” katanya.

Mengenai sektor pertanian pula, Abdul Ghani menyarankan agar pengusaha mengubah cara pertanian sedia ada kepada pengeluaran makanan melalui kaedah organik yang mampu menambah pendapatan yang lebih baik.

Katanya, melalui pengamalan kaedah organik dapat menghindarkan penggunaan baja kimia dan jika dapat dilaksanakan memberi kesan kepada paras pendapatan yang tinggi kepada para pengusaha sektor itu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 24 JUN 2010

Tiada ulasan: