HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN
LEDANG: Majlis Daerah Tangkak (MDT) dijangka akan melaksanakan sistem letak kereta berkupon di Pekan Bukit Gambir mulai Oktober ini atau selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Yang DiPertuanya, Amran Abd Rahman, berkata sudah sampai masanya sistem letak kereta berbayar dilaksanakan di pekan itu kerana pembangunannya telah setanding dengan bandar Tangkak.
Katanya, walaupun pada peringkat awal pelaksanaannya mendapat tentangan daripada pihak tertentu namun melihat kepada struktur pembangunan pekan itu yang lebih tersusun berbanding 10 tahun lepas ia wajar dilaksanakan.
Menurutnya, MDT telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan negeri untuk melaksanakan sistem letak kereta berkupon di zon yang betul-betul padat dan berpotensi seperti di Bukit Gambir dan Tanjung Agas dan pada peringkat awal tidak secara menyeluruh.
“Harapan kami agar masyarakat di Bukit Gambir dapat berfikir secara rasional kerana pelaksanaan sistem itu setimpal dengan apa yang Kerajaan bantu di sana sebagai proses untuk mendidik masyarakat dan tidak menjejaskan aktiviti ekonomi mereka.
“Dengan kuasa ekonomi yang stabil dan mantap, bayaran yang dikenakan tidak membebankan mereka berbanding di bandar-bandar besar dan sepatutnya tidak menjadi isu kerana trend perbandaran makin lama akan bertambah maju dan mereka perlu ubah sikap,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Ledang.
Turut hadir, Setiausaha MDT, Hasrin Kamal Hashim, Ketua WHIP, Abu Othman dan Timbalannya, Tham Kwong Tat.
Amran berharap pemimpin masyarakat dapat memberikan kefahaman kepada masyarakat setempat mengenai pelaksanaan tersebut kerana jika tidak dilaksanakan bermakna MDT tidak berlaku adil apabila hanya Bandar Tangkak saja yang dikenakan bayaran letak kereta.
Namun begitu, katanya, MDT masih bersedia menerima pandangan daripada orang ramai dan akan merumuskannya dengan cara sebaik mungkin supaya kedua-dua pihak mendapat manfaatnya.
Katanya, terdapat 942 petak letak kereta disediakan di Bukit Gambir, 695 petak di Tanjung Agas manakala 1368 petak di Tangkak dan pertambahan di mana-mana kawasan perniagaan yang baru diwujudkan.
Menurutnya, pembinaan plaza tol di Simpang 5 Pekan turut memberi impak kepada pembangunan pekan Bukit Gambir yang akan terus maju dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi.
SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 2 JUN 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan