PENGUNJUNG SETIA

03 Julai 2010

16 PELAJAR ALAMI DETIK CEMAS BOT KARAM DI SUNGAI MUAR

MUAR 2 Julai - Seramai 16 pelajar Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Hulu, Ledang menghadapi detik-detik mencemaskan apabila bot penambang yang membawa mereka pulang dari sekolah karam ketika menghampiri jeti Liang Batu di Sungai Muar dekat Pagoh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat hingga tingkatan enam itu serta seorang pemandu bot berusia 56 tahun berjaya menyelamatkan diri daripada lemas.

Menurut salah seorang pelajar, Mohd. Khairul Azmeer, 18, bot yang membawa 12 pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki itu secara tiba-tiba karam apabila air memasuki dari bahagian hadapannya.

"Keadaan menjadi kelam-kabut dan rakan-rakan saya semua terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri. Mereka yang tidak boleh berenang berpaut pada pelampung dan kayu sebelum kami ditarik ke tebing," katanya.

Jelasnya, kejadian itu berlaku kira-kira lima meter dari Jeti Liang Batu dengan kelebaran Sungai Muar di kawasan berkenaan adalah kira-kira 100 meter.

Katanya, bot penambang sepanjang kira-kira lima meter itu adalah pengangkutan utama bagi membawa seramai 43 pelajar dari Liang Batu untuk berulang alik ke sekolah berkenaan.

Pemandu bot berkenaan, Fuad Hasbullah, 56, pula berkata, bot itu menjadi tidak stabil apabila kebanyakan pelajar beranjak ke bahagian hadapan bot apabila menghampiri jeti Liang Batu.

"Syukur Alhamdulillah, semua pelajar selamat, saya pun tidak menyangka kejadian seperti ini boleh berlaku," katanya.

Jelasnya, berikutan kejadian itu penduduk di Liang Batu dan Kundang Hulu tidak dapat berhubungan kerana hanya bot berkenaan menyediakan pengangkutan untuk para penduduk.

"Dalam sehari saya berulang alik kira-kira 100 kali untuk mengangkut penduduk dan bot penambang ini beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 7 petang,'' katanya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 3 JULAI 2010

Tiada ulasan: