PENGUNJUNG SETIA

06 Julai 2010

UTAMAKAN RAKYAT - GHANI

LEDANG 5 Julai - UMNO akan sentiasa mendapat sokongan dan tidak tergelincir daripada landasan perjuangan sebenar selagi kepentingan setiap lapisan rakyat terus diberi keutamaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kekuatan UMNO yang bergerak dari akar umbi masyarakat membolehkan pelbagai isu yang dihadapi ditangani dengan berkesan.

Jelas Menteri Besar itu lagi, biarpun landskap politik negara telah banyak berubah sejak pilihan raya umum lalu, namun perpaduan kukuh dalam UMNO boleh mengembalikan keyakinan rakyat.

"Saya percaya selagi UMNO memahami, mendekati dan memenuhi aspirasi rakyat maka UMNO berada dalam keadaan kukuh untuk diterima oleh mereka," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Tangkak di sini semalam.

Mesyuarat Perwakilan tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Menurut Abdul Ghani, hasrat pakatan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor merupakan cabaran yang perlu digalas oleh UMNO untuk menangkisnya dari awal.

"Perkara yang dituntut (pakatan pembangkang) adalah perubahan untuk menjadikan negara lebih bebas, adil dan lebih maju, namun dakwaan mereka itu sebenarnya adalah kecaman terhadap negara yang sudah merdeka lebih 50 tahun," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang.

Jelas beliau, kedudukan UMNO negeri selaku pendukung kuat di peringkat negeri dan negara perlu terus dipertahankan bagi menghalang cita-cita parti pembangkang.

Sementara itu, Shahrir dalam ucapannya berkata, semangat muafakat yang erat di dalam UMNO Johor merupakan tunjang kekuatan kepada negeri yang melahirkan ramai pemimpin dan tokoh di pelbagai era itu.

"Biarpun ada perbezaan pendapat, perbahasan telah meletakkan perjuangan kembali ke landasan yang betul, perbincangan ini yang membawa kepada kesepakatan," katanya.

Menurutnya, beliau yakin UMNO Johor akan terus utuh dalam waktu-waktu yang mencabar kerana perjuangan berterusan parti itu bagi membela nasib rakyat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 JULAI 2010

Tiada ulasan: