PENGUNJUNG SETIA

24 Julai 2010

DALAMI ILMU URUS JENAZAH

TANGKAK – Program pengurusan jenazah yang diadakan di Dewan Harmoni Islamiah, Taman Mega Ria anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) cawangan Taman Mega Ria, di sini mampu beri banyak manfaat.

Pengerusi Taman Mega Ria, Hassan Sali berkata, program itu mendapat perhatian dan disertai 55 peserta yang terdiri daripada penduduk kawasan taman dan kawasan berdekatan.

“Kami selaku penganjur menjemput penceramah dari Pejabat Agama Islam Muar, Khatijah Othman untuk menjayakan program pengurusan jenazah ini.

“Matlamat program ini dijalankan adalah bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat mengenai pengurusan jenazah seperti bacaan, tatatertib dan cara memandikan jenazah ketika menguruskan jenazah.

“Kita sedia maklum bahawa masyarakat terutamanya belia kini sangat asing dengan program sebegini kerana tiada pendedahan dilakukan kepada mereka,” katanya.

Hassan berkata, mereka juga takut apabila mendengar perkataan jenazah sedangkan ilmu untuk menguruskan jenazah adalah penting dan perlu dipelajari secara khusus.

Menurutnya, meskipun pengurusan jenazah itu adalah tuntutan fardu kifayah perlu memberikan galakkan kepada belia untuk membabitkan diri dalam program sebegini.

“Ini kerana mereka adalah pelapis kepada generasi akan datang dan menghilangkan perasaan takut mereka kepada fardu kifayah ini.

“Program ini juga turut mempunyai sesi soal jawab antara peserta program dengan penceramah yang terlibat dalam mengemukakan soalan yang berkaitan mendapatkan kefahaman lebih mendalam mengenai dengan pengurusan jenazah.

“Sedikit sebanyak ia dapat memberikan gambaran jelas mengenai keadaan pengurusan jenazah lagi,” katanya.

Katanya, penglibatan peserta program amat menggalakkan dan ia mendapat sokongan ramai terutamanya penduduk taman itu.

“Kami selaku pihak penganjur amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan program ini dengan jayanya walaupun kekangan dari segi masa dan tempat,” katanya.

Beliau berharap, agar program ini akan dapat dilakukan lagi dan dapat menarik lebih ramai peserta terutamanya dalam kalangan belia bagi menambahkan ilmu serta menjadikan program ini sebagai suatu persediaan bagi melahirkan pelapis masyarakat yang serba berkemampuan dan berilmu.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 24 JULAI 2010

Tiada ulasan: