PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2010

BAU BUSUK TAHI AYAM


SAGIL – Penduduk kampung terutamanya di sekitar Kampung Sagil, memohon perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan yang berkaitan dalam menjalankan pemeriksaan serta memantau aktiviti sebuah syarikat memproses baja tahi ayam, di sini.

Ketua Kampung Sagil Parit 2 Simin Jasiman berkata, bau busuk aktiviti memproses tahi ayam untuk dijadikan baja oleh syarikat terbabit menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat.

“Pencemaran bau disebabkan baja tahi ayam di kilang baja berkenaan mengganggu masyarakat kampung yang tinggal berhampiran seperti penduduk taman perumahan, pelajar sekolah dan pelancong yang singgah di kawasan kampung ini.

“Bau busuk ini tersebar luas hingga ke beberapa kampung yang ada di kawasan ini malah bau itu turut tersebar di sekolah berdekatan akibat daripada aliran angin,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ini boleh mengganggu konsentrasi pelajar dalam kelas dan mereka hilang tumpuan untuk belajar.

“Aktiviti syarikat ini telah beroperasi hampir dua tahun dan majoriti pekerja terdiri daripada warga asing.

“Hal ini mengundang kebimbangan penduduk kampung kerana ianya berkaitan dengan keselamatan mereka terutamanya wanita, kanak-kanak serta pelajar sekolah,” katanya.

Seorang penduduk, Ngadiman Maarop berkata, syarikat ini pernah ditutup selama 6 bulan dan kembali beroperasi sehingga sekarang.

“Saya memohon agar syarikat ini dapat menjalankan operasi memproses baja tahi ayam di kawasan bersesuaian dan jauh daripada penempatan masyarakat supaya tidak mengganggu ketenteraman setempat.

“Selain itu, bau busuk ini turut menimbulkan masalah lalat dan ia sangat membimbangkan penduduk kampung kerana serangga ini boleh menyebarkan penyakit seterusnya menjejaskan kesihatan penduduk di sini,” katanya.

Ngadiman berkata, keadaan ini juga boleh menjatuhkan imej kampung kerana ramai pengunjung sama ada pelancong asing mahupun dalam negeri yang datang ke Gunung Ledang singgah di sini semasa dalam perjalanan ke sana.

“Imej Gunung Ledang sebagai sebuah kawasan legenda di Johor juga turut terjejas dan ianya tidak sesuai bagi memajukan eko pelancongan dan pertanian di kampung ini akibat adanya bau yang tidak menyenangkan dan diragui akan kebersihan udaranya.

“Kami selaku penggerak kepada masyarakat kampung di sini inginkan pihak berkuasa menangani masalah yang dihadapi dengan kadar segera dan apa yang penting adalah memohon kerjasama yang baik daripada semua pihak yang terbabit,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 29 JULAI 2010

Tiada ulasan: