PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2010

SA SAGIL KAMPUNG JOHAN TILAWAH ZON GAMBIR 2010

ABDUL WAHID (tengah) menyampaikan piala kepada juara keseluruhan Tilawah al-Quran Zon Gambir, Guru Besar SA Sagil Kampung, Saodah Salleh.
BERITA HARIAN | HAI ROZZAMAN JALAL

LEDANG: Sekolah Agama (SA) Sagil Kampung muncul johan keseluruhan Tilawah al-Quran Peringkat Zon Gambir 2010 apabila pesertanya mengumpul 48 mata untuk menguasai beberapa kategori sekali gus membawa pulang piala pusingan.

Sekolah Agama Kundang Ulu yang memperoleh 46 mata menduduki tempat kedua manakala SA Simpang 5 Pekan mendapat tempat ketiga dengan memungut 35 mata.

Tiga peserta SA Sagil Kampung berjaya muncul johan dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Muhammad Irwan Imani Maskor (tafsir ayat tahap dua); Ummu Qariah Mohd Nazri (tahfiz tahap dua) dan Mohd Farhan Ahmad (seni khat tahap satu) yang akan mewakili zon itu ke peringkat daerah.

Peserta SA Kundang Ulu, Muhammad Azfar Al Hafiz Nasir menjuarai kategori al-Quran tahap satu putera dan Nurlaila Mashuri (al-Quran tahap dua puteri) manakala kategori al-Quran Tahap Satu Puteri dimenangi Nurin Haziqah Nadirah Mazlan mewakili SA Simpang 5 Darat.

Peserta sekolah itu, Muhammad Danial Afiq Mohd Ghazali turut menjuarai kategori berzanji tahap dua putera.

Bagi kategori al-Quran Tahap Dua Putera, peserta SA Serom 3, Muhammad Al Fateh Nizam muncul juara, manakala Ellyfa Illyana Ibrahim mewakili SA Simpang 5 Pekan menjuarai kategori berzanji tahap dua puteri. Bagi tahfiz tahap satu pula, peserta SA Penchu, Siti Nurathirah Nazirah Salikin muncul johan.

Ainul Mardiah Othman yang mewakili SA Serom 4 menjadi johan kategori Syarahan Bahasa Arab manakala Mohd Shafie Senin dari SA Grisek memenangi kategori seni khat tahap dua.

Tilawah yang diadakan di Sekolah Agama Sengkang, Bukit Gambir anjuran Majlis Guru Agama (MAGA) Zon Gambir bertujuan mencari wakil zon itu ke peringkat daerah. Peringkat saringan tilawah itu diadakan di SA Bukit Rahmat, Grisek.

Seramai 60 peserta yang mewakili 18 buah sekolah dalam Zon Gambir menyertai tilawah itu yang dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Agama Daerah Muar/Ledang, Abdul Wahid Abdullah.

Hadir sama dalam majlis itu, Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Sairozi Subahir; Pengerusi MAGA Zon Gambir, Rosni Rasiman dan Pengerusi Badan Kebajikan SA Sengkang, Suliman Riadi.

Abdul Wahid dalam ucapannya berkata, tilawah itu yang menjadi program tahunan bertujuan untuk mencungkil bakat dan membina keyakinan murid menyertai kategori yang dipertandingkan.

Katanya, ia juga dapat mendidik murid menghayati al-Quran selain menyemaikan sifat berani berhadapan dengan khalayak ramai dalam memperdengarkan bacaan atau syarahan mereka.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 20 JULAI 2010

Tiada ulasan: